Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ali Hamsa menangkis tanggapan bahawa
pengumuman kenaikan gred gaji bagi perkhidmatan awam hari ini adalah
buah tangan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Sebaliknya
beliau berkata, pengumuman itu merupakan amalan tahunan yang dilakukan
dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA).
"Tidak (buah tangan). Jangan salah tafsir. Ada pihak yang hanya suka ambil perkara ini sebagai negatif.
"Persidangan MAPPA ialah ia satu amalan tahunan bagi perkhidmatan awam.
"Dalam
MAPPA kira akan umumkan pulangan atau penambahbaikan bagi setiap tahun
oleh kerajaan," katanya ketika ditanya dalam sidang media selepas majlis
tersebut di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak dalam ucapan perasmiannya mengumumkan penyelarasan
perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji bagi pasukan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk
disetarakan dengan perkhidmatan awam.
Kenaikan gred gaji itu
dilakukan melalui Sistem Saraan Transformatif yang melibatkan
perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion, katanya.
Pengumuman bagi
pelarasan perubahan lapisan gred jawatan itu dibuat ketika Najib
dijangka untuk mengumumkan pembubaran Parlimen bagi mengadakan pilihan
raya pertamanya.
Berita baik itu juga diumumkan ketika pasukan
keselamatan negara berdepan situasi berbahaya di Lahad Datu untuk
menumpaskan kumpulan penceroboh militan dari Filipina yang kini
mengorbankan lapan orang anggota polis.
Laporan Bernama
menyebut, penyelarasan gred gaji tersebut mencakupi skop fungsi tugas,
struktur pangkat dan juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM,
katanya.
"Sebagai contoh, Koperal dalam ATM dan PDRM yang
dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17 disetarakan
dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam. Sarjan yang
dulu dalam kelompok gred jawatan 27 disetarakan dengan gred jawatan 29
Perkhidmatan Awam Am," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Jelasnya,
jawatan Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam
kelompok gred jawatan 41 kini turut disetarakan dengan gred jawatan 44.
Untuk
jawatan Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam
kelompok gred jawatan 41, diletakkan dengan gred jawatan baru iaitu 46A
sementara Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dalam kelompok gred
jawatan 48 disetarakan dengan gred 52, katanya.
"Sesungguhnya
kesetaraan ini dibuat bagi memastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan
iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di
samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan," kata Najib. - Mkini
Oleh kerana ini amalan biasa (tahunan), penjawat awam boleh terus dengan amalan biasa (undi pada Pakatan Rakyat).