Bapa Saiful Bukhari hari ini memohon maaf kepada Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa bahawa anaknya telah
dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang
didakwanya termasuk seorang pegawai perdana menteri untuk memfitnah
Anwar dalam kes Liwat II.
"Datuk
Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan telah menjadi mangsa fitnah ini,"
kata Azlan Mohd Lazim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam satu
sidang akhbar hari ini.
"Dengan ini saya memohon maaf kepada Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan famili beliau. Beliau dan familinya telah banyak
menderita dan sangsara akibat fitnah ini," tambahnya
Anwar telah
dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun lepas
daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya pada 26 Jun
2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Jabatan Peguam Negara telah merayu terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan akan mendengar kes pada 22 Julai.
Dalam
kenyataannya, Azlan, 60, mendakwa semua kenyataan akhbar yang
dikeluarkan oleh anaknya dan beliau sendiri, telah dirancang dan
disediakan pegawai perdana menteri itu dan seorang peguam.
Malaysiakini tidak menyiarkan identiti kedua-duanya sementara menunggu respons daripada mereka.
"Mereka
inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan
terhadap YB Datuk Seri Anwar, yang melibatkan anak saya."
Menurut
Azlan, beliau mengetahui mengenai hal anaknya terlibat dan dituduh cuma
melalui akhbar milik kerajaan kerana anaknya tidak langsung pernah
menceritakan tentang kejadian dan pertuduhan tersebut kepadanya.
"Saya
tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak bagi mendapatkan keterangan
dari saya sebagai bapa dari awal hingga tamat perbicaraan," dakwanya.
walaupun beliau sentiasa dilihat berdamping dan bersama dengan anaknya, Azlan menjelaskan bahawa beliau melakukannya
semata-mata kerana kasih seorang ayah yang memberi sokongan moral kepada anaknya.
"Saya sememangnya tidak percaya kepada dakwaan-dakwaan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar."
Azlan
berkata, beliau memutuskan untuk membuat pendedahan ini kerana setelah
sekian lama mengumpul maklumat sama ada semasa dalam perbicaraan,
mahupun yang dikirim kepadanya oleh orang ramai, "saya dapati kebenaran
mula terserlah dan jelas kelihatan."
Pihak pemerintah, katanya, langsung tidak pernah menemuinya untuk berbincang kes itu atau bertanya pendapatnya.
"Segalanya dirancang dengan begitu rapi oleh (pegawai berkenaan)," dakwa Azlan.
"Sebagai
seorang Melayu dan Islam, saya mula sedar akan perancangan jahat ini.
Saya tidak mahu terus bersekongkol dengan fitnah jahat ini. Saya mahu
rakyat yang cintakan negara ini tahu akan niat jahat mereka.
"Jika
niat jahat ini berterusan, bukan sahaja umat Melayu dan Islam hancur
tetapi negara musnah. Saya tidak sanggup melihat ini terjadi.
"Saya
mengambil keputusan untuk bersama Datuk Seri Anwar, Pakatan Rakyat dan
rakyat Malaysia yang dahagakan kemakmuran dan keamanan bercakap benar
dan menentang kejahatan ini," katanya.
Azlan merayu kepada
seluruh rakyat negara ini "bangun bersatu menentang kezaliman ini dan
bekerja keras agar kebenaran akan muncul".
"Marilah kita juga doakan agar Allah menangkan perjuangan Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih
pemerintahan negara dalam Pilihan Raya ke-13 nanti," katanya.
Sementara itu, Sinar Harian Online petang ini pula melaporkan satu SMS daripada media Umno kononnya Saiful, menafikan kenyataan bapanya.
Akhbar dalam talian tersebut memetik Saiful sebagai mendakwa bapanya "diperguna" oleh pihak-pihak tertentu untuk memohon maaf.
"Berikutan kenyataan bapa Saiful yang mohon maaf pada Anwar isu liwat, ini reaksi Saiful - bapa saya diperguna," Sinar Harian memetik media Umno sebagai berkata.
Berdasarkan
kiriman pesanan itu, Saiful dilapor berkata dia tetap "istiqamah" dan
"tak sekali berganjak" serta "tengah fikir tindakan balas selanjutnya
dan tak mahu melatah".
Bagaimanapun, akhbar itu juga menyebut reaksi langsung daripada Saiful masih belum diperolehi.- Mkini