KUCHING - Tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
seringkali membawa pihak luar untuk campur tangan dalam perjalanan
politik negara jelas membuktikan beliau tidak layak mentadbir negara,
kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata apa yang dilakukan ketua pembangkang itu sudah melampau
dan tidak menggambarkan ciri sebenar rakyat Malaysia yang cintakan
negara.
"Rakyat dahulu berjuang untuk capai kemerdekaan kerana kita tidak mahu
orang luar campur tangan dalam politik kita, tetapi malangnya ada pula
pemimpin yang kononnya 'champion' di peringkat antarabangsa seolah mahu
sejarah penjajahan berulang semula.
Dia bawa orang luar dan pengaruhi mereka, kemudian mereka 'condemn' Malaysia bukan negara yang baik.
"Dia tidak layak tadbir negara (Malaysia), tindakan dia yang dilihat
terlalu bergantung kepada nasihat orang luar, pentingkan
penyokong-penyokong di luar negara, membawa NGO luar untuk campur tangan
dalam politik negara, jelas tindakannya itu tidak baik untuk Malaysia
dan Sarawak amnya," katanya ketika berucap merasmikan dewan serbaguna
baharu Kampung Lintang, Petra Jaya berharga RM1 juta dekat sini hari
ini.
Taib berkata rakyat yang cintakan negara tidak akan memburukkan negara
sendiri, namun sebaliknya berlaku kepada pemimpin pembangkang itu.
"Kita tidak mahu dipengaruhi pihak luar lagi, kita tidak mahu terus
bersama satu golongan yang bawa orang luar, dan cuba cetuskan kekecohan
ala 'Arab Spring', itu semua kita tidak mahu. Kita mahu negeri maju, dan
rakyat mahu kerajaan yang telah bawa banyak kemajuan," katanya.
Taib berkata politik diamalkan pembangkang dengan terus-menerus membawa
orang luar, nyata berbeza daripada politik yang diamalkan Barisan
Nasional (BN).
"Ini bukti perbezaan politik BN berbanding pembangkang, kita (BN) tidak
burukkan negara sendiri, atau timbulkan isu seperti hutan di Sarawak
sudah gondol sedangkan fakta tersebut tidak betul.
"Jika dibandingkan ketua pembangkang dengan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak pula, saya lebih percaya Perdana Menteri akan bawa
kemajuan kepada Malaysia kerana beliau telah mendapat didikan terbaik
dalam soal membawa pembangunan kepada negara ini," katanya. - Bernama
Pernah atau tidak anda terfikir akan duduk di dalam penjara kerana kesalahan merompak khazanah rakyat?