Lembaga Tabung Haji hari ini mengumumkan bonus Jubli Emas iaitu 6.5
peratus sebagai bonus tahunan dan tambahan bonus khas sebanyak 1.5
peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012.
Ia
melibatkan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM2.46 bilion
merangkumi pembayaran bonus tahunan sebanyak RM2.13 bilion dan bonus
khas sebanyak RM325 juta yang mana merupakan yang tertinggi sejak 50
tahun penubuhan Tabung Haji.
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jumlah pembayaran sebanyak
RM2.46 bilion itu adalah setelah mengambil kira pembayaran zakat
perniagaan sebanyak RM47 juta.
"Inilah hadiah ulang tahun
terbaik daripada Tabung Haji bagi menghargai kesetiaan pendeposit yang
sentiasa yakin dan aktif menyimpan dana di Tabung
Haji," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan bonus Jubli Emas itu, di ibunegara hari ini.
Beliau
berkara kedudukan kewangan Tabung Haji yang positif dan kukuh serta
lebihan wang rizab yang telah dikumpul selama tujuh lalu, membolehkan
Tabung Haji memberi hadiah istimewa ini kepada pendeposit.
Sebelum ini, Tabung Haji mengumumkan bonus enam peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.
- Bernama