11 February 2013

Baiah halang ahli sertai Umno

Mukhriz (tiga, kanan) memakaikan jaket SRS kepada salah seorang ahli SRS sebagai gimik pelancaran SRS kawasan Sanglang.
ALOR SETAR - Hasrat majoriti ahli dan pemimpin Pas  ingin menyertai Umno dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak kesampaian kerana sumpah baiah atau sumpah taat setia yang telah dilafazkan mereka.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sumpah itu adalah sebagai jaminan untuk ahli Pas tidak meninggalkan mereka.

Katanya, sekiranya mereka berdegil dan tetap meneruskan keinginan itu, didakwa sumpah tersebut akan terjatuh seumpama mereka menceraikan isteri mereka dengan talak tiga.

“Sampai tahap itu sekali sumpah yang mereka lafazkan. Jadi inilah antara perkara-perkara yang masih menghantui jiwa mereka itu walaupun sekarang ini masih bersama Umno.

“Kita tahu perkara itu sebenarnya tidak berapa mengikut ajaran agama Islam, tapi dia tetap berat untuk menyertai Umno secara rasmi,” katanya kepada media selepas merasmikan pelancaran Skim Rondaan Sukarela (SRS) kawasan Sanglang, di Dewan Batu 1, Jalang Sanglang, dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, pihaknya akan cuba membantu mereka ini dengan cara menyedarkan mereka bahawa baiah untuk sesuatu yang tidak baik sebenarnya tidak dibenarkan.

“Itu bukanlah baiah yang boleh diterima. Kalau kita ingat baiah masa zaman dahulu adalah kepada khalifah. Jadi khalifah itu sudah tentu seorang pemimpin  berjiwa besar dan menonjolkan ciri-ciri kepimpinan yang terbaik. Orang macam inilah yang kita kena taat, sebab itu ada baiah.

“Tapi sumpah baiah kepada Pas sudah jelas dan mula menyimpang jauh daripada pangkalan yang tidak lagi memperjuangkan syiar agama Islam. Tidak kira apa nama parti itu sekalipun, tidak sesuai dalam zaman sekarang.

“Kerana kononnya menderhakai parti yang sudah jauh menyimpang ini, seolah-olah isteri mereka diceraikan talak tiga. Ini adalah perkara yang tidak boleh diikuti mana-mana ahli termasuklah kepada pemimpin Pas dan masyarakat setempat,” katanya. - SH