wan ahmad |
KUALA LUMPUR 22 Nov. - Tindakan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Australia membantu dalam memastikan
pilihan raya umum akan datang di Malaysia bebas daripada penipuan dan rasuah
dianggap sebagai memperlekeh serta memalukan negara dan rakyat.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata, tindakan kurang bijak
itu seolah-olah menjual maruah negara apabila meminta negara asing menguruskan
demokrasi di Malaysia.
"Dengan kata lain, beliau memperlekeh
kemampuan SPR dan menidakkan suara rakyat yang mengundi memilih kepimpinan
negara.
"Rakyat Malaysia yakin dengan proses
pilihan raya Malaysia yang bakal memasuki edisi ke-13. Keyakinan tersebut
diterjemah dengan peratusan pengundi keluar mengundi hampir 80 peratus bagi
Parlimen dan lebih tinggi untuk Dewan Undangan Negeri," katanya ketika
dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai tindakan Anwar
menulis kepada Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr untuk meminta negara
itu membantu dalam memastikan pilihan raya umum akan datang di Malaysia, yang
berkemungkinan diadakan awal tahun depan, bebas daripada penipuan dan rasuah.
Anwar juga dilaporkan memberitahu Carr bahawa
beliau menemui bukti tentang penipuan dalam pendaftaran pemilih dan anomali
lain dalam menghadapi pilihan raya itu.
Beliau turut mempertikai kebebasan SPR dan
mendakwa pembangkang diketepikan oleh media.
Wan Ahmad memuji pendirian matang kerajaan
Australia yang tidak mahu terlibat dengan urusan demokrasi negara lain.
"Tiada negara di dunia ini yang akan
masuk campur urusan pemilihan kerajaan sesebuah negara kerana perkara tersebut
merupakan hak mutlak rakyat," katanya.
Wan Ahmad berkata, tindakan itu juga dilihat
sebagai langkah terdesak pembangkang dalam meraih simpati dan alasan sekiranya
pembangkang kalah dalam pilihan raya akan datang.
"SPR bersikap terbuka dan sentiasa
berusaha membuat pelbagai penambahbaikan termasuk memperkenalkan dakwat kekal,
reformasi undi pos dan sebagainya. Kami juga sering berjumpa dengan pihak
pembangkang dan kerajaan bagi memberikan penjelasan sekiranya terdapat isu-isu
tertentu," katanya. - Utusan