KUALA LUMPUR - Pas tetap dengan berpendirian membiarkan isu membabitkan
Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dan bekas Timbalan Presiden
Nasharudin Mat Isa diselesaikan oleh kedua pemimpin tersebut.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad berkata, tindakan
Karpal yang akan meneruskan samannya terhadap Nasharudin adalah urusan
peribadi.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas II Selangor berkata, pihaknya
tidak akan campur tangan kerana tidak pernah menyuruh ahlinya
mengeluarkan kenyataan yang sesuka hati.
"Itu isu peribadai, terpulanglah Karpal nak teruskan saman ke atau tidak.
"Lagi pun, Pas tak pernah menyuruh Nasharudin mengeluarkan kenyataan seperti itu terhadap pemimpin lain.
"Tak bermakna kalau Karpal tak sokong hudud, bermaksud dia anti Islam," kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Karpal berkata akan meneruskan prosiding fitnah terhadap Nasharudin, bergantung kepada keadaan yang dilihat sesuai.
Nasharudin sebelum ini didakwa memfitnah Karpal dengan menyatakan
Karpal menentang hudud dan menentang Islam dan akan menunggu tindakan
Karpal di mahkamah.
Sebelum ini, pemimpin DAP dan Pas yang lain pernah berkata mereka akan menyerahkan isu itu kepada kedua pemimpin tersebut.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata
memandangkan pilihan raya yang tidak lama lagi, sokongan dari rakyat
tidak akan berubah.
Tambahnya, parti tidak terlibat dan Pas yakin sokongan rakyat tidak akan terjejas disebabkan perkara tersebut.
"Itu kenyataan peribadi dia (Nasharudin), jadi tak perlu semua ahli parti terlibat.
"Kami yakin, sokongan rakyat tak akan berubah walaupun kita tak masuk campur," katanya lagi. - SH
MCA tentang hudud tapi tak kata pula MCA anti Islam.