05 October 2012

BN cabar PR bentang ‘blue print’ pendidikan

Puad
MARAN – Barisan Nasional (BN) mencabar Pakatan Rakyat (PR) membentangkan ‘blue print’ pendidikan dalam belanjawan mereka bagi menjelaskan pendirian dan keutamaan perikatan itu dalam mempertingkatkan sistem pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, PR perlu buktikan dakwaan bahawa belanjawan mereka lebih hebat daripada Bajet 2013 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu.

Menurutnya, belanjawan PR yang dibaca melalui laman web mereka hanya menawarkan pemberian RM500 kepada guru secara ‘one off’, sebaliknya kerajaan memberi bonus sebulan setengah gaji dalam Bajet 2013.
“Saya baca berulang-ulang belanjawan mereka, namun tiada apa yang meyakinkan untuk mempertingkatan sistem pendidikan negara sedangkan adalah pokok kepada mana-mana belanjawan.

“Belanjawan mereka sangat pincang, maka kita cabar mereka  bentangkan ‘blue print’ pendidikan yang ingin ditawarkan.
“Kita nak tahu sikap pemimpin mereka terutama DAP yang sering membangkitkan isu sekolah jenis kebangsaan Cina di Parlimen seolah-olah kerajaan memikirkan sekolah berkenaan," katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar anak yatim dalam di bahagian Parlimen Maran di sini.

Puad berkata, menurut artikel dalam sebuah akhbar tempatan berkenaan dengan Kabinet bayangan, beliau terkejut apabila mendapati bekas Menteri Besar Perak dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disebut-sebut bakal menjadi Menteri Pelajaran.
Menurutnya, Nizar bukan seorang pemimpin yang lantang bersuara malah jauh sekali dalam membangkitkan isu mengenai pendidikan.

"Di Pulau Pinang pula, kita kesal apabila tanah yang dirizabkan untuk pendidikan digunakan untuk pembangunan lain,"katanya.

Sementara itu, Puad berkata, kementerian sedia mengkaji cadangan agar guru sekolah diserap menjadi sukarelawan polis bagi mencegah jenayah di kawasan sekolah.

Menurutnya, kementerian menyambut baik sebarang cadangan untuk menambahbaik usaha ke arah mengurangkan masalah disiplin pelajar.

"Ini termasuk mempertingkatkan tahap keselamatan kerana pernah berlaku kes penculikan membabitkan pelajar yang sedang dalam perjalanan ke sekolah.

"Kementerian akan membuat kajian mengenai cadangan ini supaya tidak memberi bebanan tambahan kerja kepada guru.

"Apa yang penting, guru perlu diberi taklimat pencegahan jenayah dengan kerjasama pihak berkaitan,"katanya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail, Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Baharom Samad, Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah daerah, Fatimah Kassim dan Pengerusi Majlis Guru Besar daerah, Mat Isa Abd Rashid. - SH

Pakatan Rakyat akan naikkan gaji guru RM500 sebulan. Kakitangan kerajaan sebenarnya hanya dapat bonus setengah bulan gaji pada tahun 2013 iaitu pada bulan Januari.