06 October 2012

Ahmad Maslan: Saya tidak takut berdebat

Ahmad Maslan
PONTIAN - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menegaskan beliau tidak gentar untuk berdebat dengan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Saya bukan takut hendak berdebat dengan dia, tetapi saya tidak mahu memberikan publisiti percuma kepada dia,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelawaan Mazlan untuk berdebat.

Malah katanya, beliau banyak menjawab isu berkenaan Felda di Parlimen dan tiada kepentingan mengenai isu perdebatan dilakukan, sedangkan banyak perkara lain yang melibatkan Felda perlu dibangunkan pada masa kini.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pontian itu mahu Mazlan bertanggungjawab terhadap isu pertubuhan Anak yang tidak sah berbanding membangkitkan soal perdebatan.

“Hanya ada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf iaitu Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada enam keluarga penerima rumah Program Bantuan Rumah (PBR) di Kampung Sri Mahkota, Pontian Besar di sini, hari ini.

Katanya, sewajarnya Anak tahu batas-batas mereka dan paling penting mendaftarkan pertubuhan itu di bawah Jabatan Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (ROS) terlebih dahulu.

“Saya difahamkan, mereka (Anak) juga mengedarkan borang kononnya mahu memberikan tanah kepada anak-anak peneroka.

“Atas dasar apa mereka melakukan tindakan sebegitu sedangkan pertubuhan mereka sendiri masih tidak berdaftar,” katanya.

Semalam, Sinar Harian Online melaporkan RoS mengesahkan Anak yang aktif sejak 2007, sebagai sebuah pertubuhan tidak sah kerana tidak pernah didaftarkan dengan agensi itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, rekod pihaknya menunjukkan Anak tidak pernah berada dalam senarai pertubuhan yang sah di Malaysia. - SH

Ahli parlimen sepatutnya berani berdebat.