06 September 2012

Menteri: Pelajar dipecat seleps dipertimbang sewajarnya

Budak ini belum lagi dibiraca mahkamah.
 Zalim sungguh tindakan memberhenti.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya keputusan pengurusan sebuah kolej swasta di Cheras memberhentikan seorang pelajarnya berikutan insiden menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara telah dipertimbangkan dengan sewajarnya.

Beliau berkata tindakan itu wajar dilakukan kerana ia telah mencemar nama baik institusi pengajian tinggi berkenaan.
  
"Saya percaya keputusan memberhentikan pelajar itu telah
dipertimbangkan sebaik-baiknya sehingga membawa kepada pemecatan itu," katanya kepada pemberita di Bangi malam tadi.

Beliau mengulas mengenai seorang pelajar semester tiga Diploma Multimedia Kreatif sebuah kolej, yang ditahan semalam dan kemudiannya dibebaskan berhubung insiden menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara pada sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka, malam Khamis lepas.

Difahamkan pelajar itu diberhentikan serta merta untuk mencerminkan pendirian pihak kolej yang tidak akan berkompromi dengan sebarang tingkah laku menyalahi undang-undang negara.

Ditanya sama ada pelajar itu boleh merayu untuk menyambung semula pengajiannya, Khaled berkata ia terpulang kepada budi bicara kolej berkenaan.

Beliau, bagaimanapun berkata pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar terbabit, juga telah diberhentikan serta merta.
  
Terdahulu, Khaled menghadiri majlis tinjauan mesra menteri bersama pelajar Kolej Keris Mas sempena Minggu Mesra Pelajar Sesi Akademik 2012-2013 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.
  
Dalam ucapannya, beliau menasihati pelajar supaya memahami dan menghayati matlamat berada di universiti iaitu untuk menguasai ilmu pengetahuan.

"Anda perlu memahami kebebasan. Tapi ia tidak bermaksud kita membuat apa yang kita suka dan melanggar undang-undang negara," katanya.

Seramai 521 pelajar baru mendaftar masuk ke Kolej Keris Mas untuk sesi akademik 2012-2013. Mereka antara 3,180 pelajar baru yang mendaftar di UKM sesi tersebut - Bernama