Gambar Hiasan |
Suspek berusia 57 tahun ditahan di rumahnya malam tadi selepas keluarga dua murid berusia 11 tahun itu membuat laporan polis petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.40 petang apabila kedua-dua mangsa mendakwa guru besar itu tidak terus menghantar mereka pulang sebaliknya membawa mereka ke rumahnya di Pekan Baru terlebih dahulu untuk memuaskan nafsunya.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, semasa berada di rumah guru besar itu, dua murid perempuan itu mendakwa mereka telah dipeluk dan dicium oleh suspek.
"Mangsa juga mendakwa guru besar itu meminta mereka menanggalkan pakaian tetapi mereka menjerit meminta tolong dan merayu supaya dihantar pulang.
"Selepas didesak oleh kedua-dua mangsa, guru besar itu telah menghantar mereka pulang ke rumah masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kok Liang berkata, kedua-dua mangsa yang pulang dalam keadaan ketakutan kemudian menceritakan kejadian itu kepada keluarga mereka yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Teluk Intan.
Susulan laporan yang dibuat, polis menahan suspek dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. - Utusan
Siasat dengan adil. Budak sekarang juga sudah ada yang pandai bercakap bohong.