30 September 2012

Azalina: Himpunan Hijau Lestari topeng pembangkang capai objektif politik

Azalina
PENGERANG, 30 Sept —Di sebalik bantahan dan demonstrasi di Dataran Sungai Rengit anjuran Himpunan Hijau Lestari, di sini hari ini, ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman melihat ia hanyalah “topeng” pembangkang Pakatan Rakyat (PR) menggunakan badan bukan kerajaan untuk mencapai objektif politik mereka.

Azalina juga turut meyuarakan keyakinan rakyat Johor, dan Pengerang khususnya, tidak begitu daif untuk menilai rasionalnya isu Pengerang ini untuk menggoncang kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) di Johor.
“Ia strategi pembangkang, tapi mereka gunakan topeng organisasi bukan kerajaan untuk mencapai objektif politik pembangkang.

“Saya tidak akan bawa isu pembangkang, lebih baik saya bawa isu BN,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Organisasi bukan kerajaan Pengerang, sebelum ini, berkata kepada The Malaysian Insider yang mereka telah cuba untuk mendapatkan bantuan daripada Azalina bagi membantu mereka berhubung projek pembangunan Hab Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) yang bernilai RM60 bilion.
Azalina, bagaimanapun, menafikan perkara itu, malah beliau menegaskan isu yang dibawa NGO itu adalah ideologi pembangkang.

“Bila mereka jumpa saya? Saya selalu cuba selesaikan isu yang di bawa organisasi bukan kerajaan. Untuk di Pengerang ini, mereka ada tiga pilihan, kerajaan tak memaksa.
“Banyak organisasi bukan kerajaan  bawa ideologi pembangkang... kalau betul Himpunan Hijau ingin memperjuangkan alam sekitar, kenapa semasa tumpahan minyak di Pengerang yang melibatkan hampir 700 nelayan tiada pemimpin mereka yang turun padang?” bidasnya.

Jelas Azalina lagi, perhimpunan hari ini juga digerakkan pembangkang dengan harapan untuk menjadikan RAPID sebagai Lynas kedua.
“Perhimpunan itu digerakkan pembangkang dengan harapan ingin menjadikan RAPID sebagai Lynas kedua. “Mereka cuba gunakan sentimen ini untuk mewujudkan pandangan negatif negara luar terhadap Malaysia,” tegasnya.
Malah, Azalina juga turut menggesa ketiga-tiga parti komponen PR untuk menyatakan pendirian mereka berhubung isu RAPID ini.

“Isu RAPID ini saya yakin mereka akan gunakan sebagai senjata menjelang pilihan raya umum ke-13. Apa pendirian mereka dalam isu ini?
Selepas pilihan raya, ia akan senyap,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Perhimpunan hari turut menyaksikan penyertaan peserta dari seluruh pelusuk negara apabila peserta dari 25 kawasan dipusatkan ke Dataran Sungai Rengit untuk mengadakan demonstrasi aman membantah projek berkenaan.

Menggunakan tema “Himpunan Hijau Lestari Selamatkan Pengerang”, himpunan anjuran badan bukan kerajaan Pengerang ini dianjurkan dengan kerjasama daripada Himpunan Hijau dan turut didukung oleh penyertaan daripada parti politik Pakatan Rakyat (PR).
Berdasarkan temubual eksklusif dengan The Malaysian Insider dengan organisasi bukan kerajaan Pengerang,  koordinatornya Zaaba Abdul Samad berkata projek yang menelan belanja RM60 bilion ini akan meliputi keluasan 22,500 ekar tanah dan bakal menjadi hab simpanan minyak terbesar di Asia Pasifik.

“Masalahnya di sini bukan setakat Pengerang... tapi perairan di Johor, sekiranya RAPID ini siap di Pengerang, seluruh kawasan perairan Selatan di Johor, termasuk empat kawasan di Pengerang akan terlibat dengan pembangunan petrokimia.
“Sekarang ini ialah di Tanjung Bin di Kukup, Pasir Gudang, Tanjung Langsat, dan Pengerang yang terbaru,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Jelasnya lagi, untuk projek RAPID, kerajaan juga telah menggunakan peruntukan daripada Seksyen 8 Kanun Tanah Negara untuk mengambil tanah-tanah di Pengerang untuk tujuan membangunkan projek berkenaan.
“... (jadi, penduduk) sudah tidak boleh membuat bantahan, mereka hanya boleh tuntut gantirugi, sama ada mereka setuju atau tidak,” katanya lagi.

Justeru, Zaaba menegaskan isu pokok di Pengerang adalah penduduk tidak berpuas hati terhadap kadar pampasan yang diberikan, disamping isu alam sekitar yang bakal menjejaskan landskap Pengerang yang sinonim dengan hasil laut dan destinasi pelancongan.
“Penduduk kampung sekarang tak puas hati dengan bayaran gantirugi itu. Berbanding dengan penilaian JPPH (Jabatan Penilaian dan Pehkhidmatan Harta), perbezaan nilai tanah itu hampir 38 ke 42 peratus dari segi harga.

“Bayaran pampasan dibuat atas keluasan tanah, sekaki persegi, namun turut mengambil kira pembangunan di atas tanah tersebut,” katanya lagi dan menambah, ada kes untuk lot banglo, nilai pampasan adalah RM95 hingga RM100 sekaki persegi.”
Sementara itu, pengerusi organisasi bukan kerajaan Pengerang Anis Afida Mohd Azli menegaskan, ekoran pembayaran pampasan yang tidak setimpal, ia telah menimbulkan kemarahan penduduk, malah beliau turut menjangkakan isu di Pengerang ini bakal memberikan peluang kepada PR untuk menembusi kubu kuat Umno dan BN itu.

“Mereka sangat marah.
“Mungkin ia akan beri kesan kepada Johor dalam pilihan raya nanti,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Jelasnya lagi, dengan isu ini, penduduk Pengerang yang mempunyai seramai 35,000 pengundi, dengan kawasan yang 80 peratus majoritinya didiami komuniti Melayu termasuk peneroka di 10 Felda dan 20 peratus Cina ini akan turut menyertai demonstrasi tersebut.

Pengerusi Himpunan Hijau Wong Teck pula menegaskan isu di Pengerang ini bukan lagi masalah setempat, sebaliknya masalah yang mendapat perhatian di peringkat nasional, malah beliau yang ditemui The Malaysian Insider turut mengakui kehadiran mereka ke Pengerang untuk “mempolitikkan” isu tersebut. - TMI

Selepas pilihanraya akan senyap kerana masalah itu akan diselesaikan oleh kerajaan PR yang baru.