KUALA KANGSAR – “Berwaspada, jangan sampai tertipu dengan taktik lelaki
hidung belang itu,” demikian peringatan yang diberi Kiah, 47, mengenai
tindakan bekas suaminya yang gemar mempermainkan wanita.
Kiah berkata, bekas suaminya itu bukan sahaja ligat permainkan wanita
tetapi turut mengikis harta mangsa-mangsanya untuk meneruskan hobi yang
suka menukar kereta setiap tahun.
Menurutnya, tanpa mengira status sama ada janda, isteri orang dan
wanita muda sebagai mangsa, lelaki berusia, 48, itu juga dikatakan
seakan mempunyai aura apabila dengan mudah mampu memperdayakan semua
mangsanya.
“Cukuplah dengan derita yang saya tanggung selama ini, saya tidak mahu
wanita lain terutama di daerah ini menjadi mangsa kerakusannya lagi,”
katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Kiah membongkar perbuatan bekas suaminya yang dikenali sebagai Karim
dan mangsa terbarunya wanita berusia 40an yang baru dikahwininya bulan
lalu.
Katanya, dia percaya Karim yang mempunyai sumber pendapatan tetap,
mempunyai ilmu untuk menundukkan wanita yang dituntutnya dari sebuah
perkampungan Orang Asli di Gopeng.
“Karim mempunyai tangkal di bahagian pinggangnya. Mungkin sebab itulah
orang lain kalau memandangnya pasti akan berasa simpati selain menurut
kata-katanya terutama ketika dia meminta wang.
“Saya berasa kasihan dengan wanita yang baru dikahwininya itu kerana
saya tahu mereka pasti akan menderita sama yang dialami oleh isteri
pertamanya umpama patung bernyawa di rumah,” katanya.
Kiah turut terkejut apabila dirinya telah diceraikan dengan talak tiga
tanpa pengetahuannya dan perkara itu diketahuinya selepas 10 bulan
dilafazkan di hadapan isteri pertamanya.
“Masa itu memang saya tidak tahu dan kami masih bersama sebagai suami
isteri sehinggalah saya bertemu dengan isteri pertama yang kemudiannya
menunjukkan dokumen penceraian,” katanya yang turut membawa kes itu ke
Mahkamah Syariah.
Menceritakan detik pertemuan pertama, dia yang tidak pernah berkahwin
terus menjadi ‘gila bayang’ dengan lelaki itu selepas bertemu di sebuah
kedai di sini.
“Saya terus demam selepas berjumpa dengannya dan tidak mempedulikan
nasihat orang sekeliling termasuk ahli keluarga. Lelaki yang diharap
menjadi pelindung merupakan bebanan dalam hidup saya.
“Kami berkahwin melalui sindiket dengan perbelanjaan ditanggung sendiri oleh saya. Dia tidak keluar sesen pun,” katanya.
Kiah berkata, selain manis mulut, lelaki berkenaan turut ‘ringan tangan’ sekiranya perbuatannya itu ditegur.
“Saya nasihatkan wanita-wanita di luar sana supaya tidak mudah terpedaya dengan dia yang bermulut manis.
“Saya juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya dia masih ganggu hidup saya,” katanya. - SH
