09 August 2012

Teksi ditarik secara samseng

KUALA LUMPUR - Bukan hanya teksi akan ditarik tanpa budi bicara sekiranya sewa gagal dibayar dalam tempoh 14 hari tetapi lebih terus, ia akan dilakukan oleh sekumpulan penarik kereta dengan lagak samseng, tanpa menghiraukan penumpang yang berada dalam teksi berkenaan.


Situasi tersebut didakwa menghantui pemandu teksi sekitar Lembah Klang yang menyewa dengan syarikat pengusaha teksi, kerana sukar memperoleh pendapatan untuk membayar sewa secara konsisten.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi terbabit, Mohamed Asharaf Yasin berkata, ramai pemandu teksi tertekan dengan keadaan yang berlaku.
Menurutnya, jika sebelum ini mereka tertekan kerana isu ‘ulat Arab’ yang semakin melampau, isu teksi ditarik kini memberi tekanan tambahan kepada mereka, tambahan pula menjelang perayaan.

“Pemandu teksi sukar memperoleh pendapatan yang memberangsangkan dalam bulan Ramadan membuatkan mereka gagal membayar sewa seperti ditetapkan.
“Jadi di sini, kami mohon kepada agensi berkaitan dan pihak kerajaan campur tangan serta mengambil pendekatan sewajarnya bagi membantu menangguhkan tindakan pihak syarikat pengusaha teksi ini sehingga selepas musim perayaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika di temui di sini, semalam.

Hadir sama, kira-kira 20 pemandu teksi juga melahirkan kebimbangan sama berhubung isu tersebut.
Difahamkan, kadar sewa sebanyak RM53 sehari dikenakan ke atas teksi biasa dan RM120 untuk teksi eksekutif.

Seorang pemandu teksi, S.Nadarajan, 40, mengakui berhadapan risiko teksi ditarik apabila gagal membayar sewa selama 25 hari.
“Mereka datang bukan seorang dua, tetapi sampai tujuh ke lapan orang sehingga menakutkan penumpang yang ketika itu berada dalam teksi," katanya. - SH

* Bukan Najib sudah selesaikan masalah pemandu teksi dengan memberi 4 tayar percuma...