02 August 2012

SENIMAN: Bayar loyalti pelakon seperti penyanyi

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menggesa agar pelakon dibayar royalti bagi hasil kerja mereka seperti penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik.
Gesaan itu dibuat dalam satu sesi santai bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) di Kuala Lumpur malam tadi.

Ia dibuat susulan pindaan terhadap Akta Hak Cipta 1987 (Pindaan 2010) yang diluluskan di Parlimen hujung tahun lalu.

Melalui pindaan itu, satu daripada tiga peruntukan baru iaitu Pendaftaran Badan-Badan Perlesenan disatukan ke dalam akta itu untuk memantapkan lagi hak golongan seniman.

Pelakon yang hadir malam tadi, mencadangkan agar satu pertubuhan seperti Screen Actors Guild (SAG) di Amerika ditubuhkan untuk mengutip royalti dari tayangan filem dan drama dan diedarkan kembali kepada pelakon yang terlibat.

NONEAntara yang hadir  ialah presiden SENIMAN Zed Zaidi, Lisa Surihani, Tasha Shila, Jehan Miskin, Fizz Fairuz, Beego dan Shaheizy Sam.

Dalam pertemuan yang sama, mereka turut menggesa agar satu undang-undang digubal bagi menghadkan jam bekerja golongan karyawan di hadapan dan belakang tabir agar tidak lebih daripada 12 jam sehari dan tidak lebih lima hari berturut-turut.

Ismail Sabri sewaktu ditemui berkata maklum balas yang diberikan pelakon-pelakon tersebut akan diteliti pihaknya.

"Kita cadang untuk teliti apa yang kita boleh lakukan untuk membantu artis, produser dan sebagainya," katanya.

Zed Zaidi pula gembira dengan perbincangan yang berlangsung dan positif cadangan itu mampu dilaksanakan.

Lisa Surihani pula bersedia untuk bekerjasama dengan SENIMAN bagi menzahirkan cadangan-cadangan itu.

"Kami mahu SAG versi Malaysia dan saya gembira SENIMAN mengambil langkah memulakannya.

"Pastinya dan kalau saya menjadi sebahagian daripada jawatankuasa kerja (untuk SAG) ini bermakna saya menyokong perlindungan (karyawan di tempat kerja)," kata Lisa. - Mkini