02 August 2012

Pemilik Kereta Rugi Jika Harga Rendah

KUALA LUMPUR: Pengusaha kereta terpakai dan pemilik kereta sedia ada akan mengalami kerugian mendadak dari segi nilai harga kereta mereka jika harga kereta serta duti eksais kenderaan diturunkan.
Presiden Persatuan Persekutuan Syarikat-syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor berkata penurunan harga kereta dan duti eksais boleh mengakibatkan kerugian kepada pemilik lebih 10 juta kereta di negara ini yang masih lagi dalam status pembiayaan dan berhutang dengan bank.


"Kebanyakan kereta masih lagi baru dibeli dalam tempoh dua hingga lima tahun. Pemilik 10 juta kereta itu pasti akan rugi kerana harga aset mereka turun.
"Contohnya, harga sebuah kereta Camry yang telah dibeli adalah RM90,000...kemudian cadangan itu diteruskan, harga turun kepada RM60,000, tetapi pembiayaan dengan bank masih lagi RM90,000.

"Pemilik pastinya telah rugi dan situasi ini kelak akan menimbulkan keadaan pinjaman tidak berbayar," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli yang berjanji untuk menurunkan harga kereta jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Mohd Rafizi membuat kenyataan itu kerana melihat kononnya harga kereta sekarang ini membebankan rakyat tetapi tidak menyatakan bagaimana kesan penurunan harga kenderaan akan mempengaruhi sektor lain yang berkaitan.
Khor berkata cadangan itu juga akan menyebabkan industri jualan kereta terpakai merosot dan terkena tempias kerugian kerana pengguna akan memilih untuk membeli kereta baru yang lagi murah dari kereta terpakai.

Katanya walaupun harga kereta di Malaysia tinggi berbanding negara lain, namun harus diakui, harga petrol di negara ini masih lagi rendah dan berpatutan di rantau ini.
"Polisi kerajaan, mudah untuk memiliki sebuah kereta dan mudah menanggung perbelanjaan petrol. Tiada gunanya kalau harga kereta itu murah tetapi petrolnya mahal.

"Negara perlukan pendapatan daripada penjualan harga kereta untuk terus maju," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd Rahman berkata penghapusan cukai bagi kereta akan mengurangkan cukai negara sebanyak RM7 bilion yang boleh menjejaskan pelbagai pembangunan termasuk melibatkan sektor pengangkutan.

"Macam mana hendak baiki jalan dan meningkatkan infrastruktur jalan raya? Tidak mustahil tol naik sebab kerajaan tiada duit. Buatlah kajian terperinci. Bercakap memang senang, tapi mustahil.
"Bohonglah kalau tidak bersetuju dengan cadangan itu..siapa tidak mahu kereta murah," katanya.

Beliau berkata jualan syarikat pengeluar kereta nasional negara, Proton dan Perodua juga tidak mustahil akan merosot dan mengalami kerugian mendadak jika cadangan itu dilaksanakan.
Ini kerana pengguna akan memilih untuk membeli kereta import yang harganya tidak jauh beza dengan harga kereta tempatan, katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Automobil Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad menyifatkan cadangan itu perlu dikaji dan diteliti kaedah pelaksanaannya yang memerlukan tempoh masa yang khusus dan bukannya dijalankan secara serta-merta.

Ini kerana kerajaan telah memberikan kemudahan dari segi pembaharuan cukai jalan dengan harga rendah selain kos penyelenggaraan kereta yang rendah dan sangat kompetitif berbanding negara lain, katanya.
"Kita tidak mahu cadangan ini akan mewujudkan fenomena 'tidak beli kereta' seperti yang berlaku pada 2006 di mana kerajaan umumkan penurunan semua harga kereta termasuk kereta tempatan dan kereta import.

"Pengguna pula ketika itu mengambil sikap berhati-hati dan tidak membeli kereta dan menunggu sehingga harga kereta betul-betul berada di bawah paras rendah. Akhirnya, keadaan ini menyukarkan kita dan mengambil masa bagi kita menyelaras dan pulih daripada situasi itu," katanya. BERNAMA

* Rupanya inilah kerajaan (Umno) yang tidak suka rakyat sejahtera dengan mampu memiliki kereta sendiri seterusnya mengurangkan risiko di jalan raya...