KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Noryn Aziz akhirnya secara terbuka
mengakui bahawa sudah lebih dua tahun bergelar isteri kepada arkitek
terkenal, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah atau lebih dikenali sebagai
Raja Bahrin.
Sebelum ini, Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz, 36,
bertindak untuk tidak bercakap mengenai soal peribadi apatah lagi
memberi sebarang kenyataan berhubung desas-desus perkahwinannya.
Tegas Noryn, tindakan itu dibuat berdasarkan keputusan untuk menghormati keluarga pihak suami.
“Rasanya sudah lebih dua tahun saya mendiamkan diri dalam soal
berkenaan. Saya fikir, kemunculan sekarang ini adalah masa yang paling
sesuai.
“Cerita kahwin dahulu pun sudah tidak panas lagi, rasanya semua
orang sudah tahu status saya selama ini,” kata Noryn dalam satu
pertemuan bersama Kosmo!.
Jelas Noryn, dia dan Raja Bahrin berkahwin pada satu majlis tertutup
di Terengganu pada 22 Januari 2010. Pernikahan dengan Raja Bahrin
menamatkan kehidupan janda Noryn selepas 12 tahun berdepan kegagalan
daripada perkahwinan pertamanya. - Kosmo