KULIM - Seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 28 tahun membuat
laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin
setelah mengadu dirogol oleh majikannya.
Mangsa yang datang ke Malaysia pada 15 Mei lalu dijanjikan gaji bulanan
RM500 sebulan bagaimanapun tidak menerima sebarang bayaran sehingga
hari ini.
Menurut mangsa, sepanjang tinggal bersama majikannya, dia telah dirogol
sebanyak tiga kali dan kejadian berlaku ketika isteri suspek dan
anaknya yang sudah bersekolah tiada di rumah.
“Kejadian berlaku pada Ahad, ketika itu isteri dan anaknya tiada di
rumah. Isterinya bekerja sebagai seorang guru sekolah manakala anaknya
bersekolah dalam tingkatan empat. Apabila kedua-dua mereka keluar dari
rumah, hanya tinggal saya dan suspek sahaja di rumah.
"Suspek kemudian menghampiri saya dan memuji saya cantik sebelum
bertindak agresif terhadap saya. Suspek meminta saya melayani kehendak
seksnya tetapi saya enggan berbuat demikian. Suspek naik berang dan
mengugut untuk membunuh saya sekiranya tidak mahu melayani kemahuan
seksnya,” katanya.
Mangsa berkata, kali terakhir dia dirogol dua minggu lalu. Bagaimanapun
Ahad lalu suspek sekali lagi cuba merogolnya tetapi dia memaklumkan
kepada suspek kesan luka yang terdapat pada kemaluannya masih belum
sembuh dan sakit.
Katanya, perlakuan itu berlaku beberapa kali sehingga dia mengambil
keputusan untuk melarikan diri dari rumah majikannya dan meminta bantuan
dari jiran berhampiran sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat
laporan.
Sementara itu. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh
berkata, suspek sudah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 376
Kanun Keseksaan kerana merogol.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat mangsa. - SH