SUBANG JAYA – Polis mengedarkan fotofit seorang lelaki dipercayai warga
Indonesia bagi membantu siasatan berhubungan kes rogol pekerja butik di
SS15, 21 Julai lalu.
Dalam kejadian itu, butik tempat kerja mangsa berumur 23 tahun itu dikatakan didatangi lelaki berkenaan kira-kira jam 3 petang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli
berkata, suspek dikatakan membelek-belek pakaian di rak dan memaklumkan
kepada mangsa dia ingin menghadiahkan baju itu kepada teman wanitanya.
Katanya, suspek yang bertutur dalam bahasa Indonesia kemudian memaksa
pekerja butik itu masuk ke dalam bilik stor dan terus mengikat kaki
tangan serta mulut mangsa.
“Suspek kemudian merogol mangsa dan menyamun beg duit, telefon bimbit
serta hasil jualan yang berada di kaunter pembayaran,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Yahaya berkata, pihaknya
memohon kerjasama orang ramai mengesan seorang lelaki warga Argentina
bagi membantu siasatan kes pecah rumah dan melanggar kereta polis di USJ
18/2A pada 26 Julai lalu.
Dalam kejadian 9.25 malam itu, empat lelaki melarikan diri selepas
melihat kereta peronda polis tiba di pekarangan rumah teres dua tingkat
tersebut yang telah dipecah masuk.
“Kita minta orang ramai tampil memberi maklumat sekiranya mengetahui
kedudukan lelaki dikenali Ignacio Marcelo, 45, yang masuk ke negara ini
sebagai pelancong sejak Oktober lalu,” katanya. - SH