KAJANG - Sebuah kilang di kawasan Perindustrian Selesa Jaya, Balakong,
di sini dipecah masuk Ahad lalu, menyebabkan lebih tiga pemilik premis
yang beroperasi di dalam kawasan kilang tersebut mengalami kerugian.
Difahamkan, kilang tersebut menempatkan 12 premis kilang kecil yang
menjalankan perusahaan aluminium, kejuruteraan dan proses makanan sejuk
beku dimana 10 daripadanya dipecah masuk.
Seorang pemilik premis, Lee Yih Feng, 34, berkata, premisnya
menjalankan kerja kejuruteraan malah baru dua bulan menyewa di dalam
kawasan kilang berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi, dia menerima
panggilan daripada pekerja memaklumkan kilang mereka dipecah masuk.
“Saya segera ke kilang dan memeriksa kawasan namun tiada barang yang
hilang kerana tiada barang bernilai di kawasan kilang berikutan kami
hanya menjalankan operasi pengeluaran sahaja di sini.
“Namun jentera forklift kami dialihkan dan dijumpai di kilang
berdekatan mungkin digunakan penyamun untuk mengangkut barang dari
kilang berdekatan,” katanya.
Seorang lagi pemilik premis, Hee Meow Loong, 41, berkata, seorang
pekerja asing di kilang berdekatan turut dicederakan penyamun
menggunakan parang berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Berdasarkan rakaman, lebih enam penyamun yang memecah masuk premis
bersenjatakan parang malah bertindak menetak seorang pekerja, namun
mujur dia hanya mengalami cedera ringan.
“Saya telah lima tahun menjalankan perindustrian kejuruteraan di
kawasan kilang ini dan ini kali pertama kes besar dihadapi berlaku,”
katanya.
Meow Loong berkata, dia mengalami kerugian sekitar RM100,000 apabila
wang asing lebih RM10,000 dikebas, lori syarikat, sistem CCTV, buku cek
persendirian dan syarikat, pasport dan dua komputer riba dilarikan
perompak.
“Ketika kejadian itu juga, sistem penggera dipotong dan pengawal turut diikat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid
Ab Wahab mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan lanjut
sedang dijalankan. - SH