PUTRAJAYA 1 Ogos - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta menaikkan
gred perjawatan terhadap majistret dan hakim kanan agar pendengaran
kes-kes sivil melibatkan tuntutan saman yang lebih tinggi dapat
disegerakan.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria ketika melahirkan harapan
tersebut berkata, gred yang lebih tinggi wajar diberi pertimbangan
ekoran beban tugas yang semakin mencabar dihadapi oleh pegawai-pegawai
kehakiman.
Menurut beliau, ia selaras dengan pindaan terhadap Akta
Mahkamah-Mahkamah Rendah 1948 yang membuka bidang kuasa yang lebih luas
kepada majistret dan hakim mengendalikan tuntutan saman yang lebih
tinggi berbanding sebelumnya.
Arifin menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditemui di Istana
Kehakiman di sini selepas majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia
Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang dilantik
sebagai pesuruhjaya kehakiman bermula hari ini. - UTUSAN