Pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) P Waythamoorthy
berjaya kembali ke Malaysia walaupun pada mulanya bimbang ditahan oleh
Jabatan Imigresen Johor.
Kira-kira 20 orang penyokongnya tengah
hari ini berdebar-debar apabila pegawai bertugas mengambil sebentar
pasport Waythamoorthy.
"Mereka (imigresen) kata saya dalam senarai dikehendaki polis," kata Waythamoorthy ringkas melalui perbualan telefon dengan Malaysiakini.
Beliau
pada mulanya diminta berbincang dengan pegawai imigresen tetapi
menolaknya. Bagaimanapun, selepas perbincangan ringkas dengan pegawai di
kaunter, beliau dibenarkan melaluinya.
Beberapa penyokong yang sama perjalanan dengan Waythamoorthy daripada Singapura melalui pengalaman yang sama.
Rombongan itu kemudian disambut oleh konvoi enam kereta dan dibawa ke sebuah kuil di Johor Bahru untuk satu pertemuan.
Waythamoorthy dijadual bercakap di hadapan penyokongnya pada jam 5 petang ini dan kembali ke rumahnya di Seremban malam ini.
Beliau
meninggalkan negara ini sejurus selepas perhimpunan Hindraf pada 2007
untuk menggerakkan kempen kumpulan itu di peringkat antarabangsa.
Pasportnya dibatalkan pada April 2008. - Mkini