KUALA SELANGOR - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
mengakui bahawa Universiti Selangor (Unisel) menanggung hutang sejak
sekian lama sehingga menjejaskan kemampuan universiti itu untuk membayar
tunggakan kos penyelenggaraan dan operasi asrama kepada syarikat Jana
Niaga Sdn Bhd (JNSB).
Beliau berkata walaupun pelajar membayar yuran pengajian, namun masih
tidak mencukupi untuk menjelaskan hutang itu kerana perjanjian
menetapkan Unisel perlu membayar sewa penuh kepada JNSB walaupun ketika
cuti dan penuntut tidak menetap di asrama.
"Kita nak jaga pelajar dan kerajaan sudah maklumkan kepada Unisel
supaya menumpukan kepada operasi universiti dan jangan susahkan diri
tentang bayaran itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
program Tadarus dan Tadabbur Perdana Peringkat Selangor di sini hari
ini.
Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar semalam
bahawa Unisel berhutang hampir RM15 juta kepada JNSB, yang
bertanggungjawab membangunkan dan menguruskan kediaman penuntut di
kampus induk universiti itu di Bestari Jaya di sini.
Unisel didakwa tidak melunaskan yuran penyelenggaraan untuk 17 bulan
dan bayaran asrama yang dikendalikan oleh JNSB bagi tempoh lapan bulan.
Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan menyelesaikan hutang
Unisel kepada JNSB, Abdul Khalid menjawab: "Kalau ikut undang-undang
bayarlah. Kalau ada yang JNSB tidak ikut dia kena betulkan balik, itu
sahaja."
Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata pendapatan universiti itu tidak
cukup untuk membiayai kos pembinaan asrama yang berjumlah RM200 juta dan
kampus yang berjumlah RM600 juta.
Bagaimanapun beliau berkata pendapatan Unisel masih mencukupi untuk
membiayai gaji tenaga pengajar serta sistem penjagaan dan pentadbiran
asrama.
"Justeru, selepas 2008 kita memutuskan bahawa Unisel tidak perlu lagi
dibebankan dengan hutang kerana kerajaan negeri yang akan menyelesaikan
hutang kepada bank dan sekarang kita sedang menyediakan dokumen
berkenaan untuk diserahkan kepada pihak bank," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid berkata kelewatan pendedahan
laporan audit kewangan Unisel disebabkan banyak perkara perlu
diperbetulkan oleh kerajaan negeri berikutan laporan itu tidak
didedahkan hampir lima tahun.
Abdul Khalid berkata laporan itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat
agung syarikat yang mana antara pemilik sahamnya ialah Menteri Besar
Incorporated. - Bernama
