OAK CREEK - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh termasuk seorang
lelaki yang melepaskan tembakan dan anggota polis dalam satu kejadian di
kuil masyarakat Sikh di Milwaukee, pinggir bandar Oak Creek, Wisconsin,
semalam.
Empat orang terbunuh dalam gurdwara dalam kejadian itu, yang dilaporkan
berlaku sebelah pagi semalam waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia).
Tiga lagi dilaporkan kritikal.
Pihak berkuasa menyifatkan serangan itu sebagai satu bentuk tindakan ala keganasan 'setempat'.
Perkembangan ini sememangnya mengejutkan banyak pihak selepas AS masih
belum pulih daripada kejutan serangan seorang lelaki ke arah sekumpulan
penonton filem Batman bulan lalu.
Laporan media dari Wisconsin menyebut bahawa penyerang terbabit
kemudian menyerbu seorang anggota polis di lokasi kejadian, melepaskan
tembakan beberapa kali sebelum dia ditembak oleh seorang lagi anggota
polis.
"Maklumat yang ada sekarang menunjukkan serangan dilakukan oleh seorang," kata Ketua Polis Oak Creek, John Edwards.
Oak Creek merupakan sebuah bandar yang terdiri daripada 30,000 orang.
Edwards dipetik CNN berkata, kes itu, yang kali pertama disaksikan oleh kuil berkenaan, akan disiasat oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Anggota keluarga mangsa yang berkumpul di kawasan gurdwara memberitahu stesen WTMJ bahawa mangsa-mangsa yang terselamat dibawa ke pusat boling untuk diambil keterangan.
Amardeep Kaleka berkata, bapanya Satwant Kaleka, presiden kuil, cedera
ketika cuba menghalang penyerang daripada melepaskan tembakan.
Ibunya juga berada di lokasi kejadian ketika serangan dan mengalami tekanan susulan insiden tersebut.
Seorang lagi pemimpin kuil, Darshan Dhaliwal tidak pasti berapa ramai cedera dalam insiden tersebut.
"Kami sedang cuba untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku," katanya.
Seorang lagi memberitahu stesen itu bahawa "tiada siapa yang marah di sini."
"Kami hanya keliru. Adakah ini tindakan rambang? Adakah (tindakan ini) dituju ke arah kami disebabkan rupa kami?" katanya lagi.
AS mempunyai 700,000 masyarakat Sikh pada masa sekarang. - SH
