20 August 2012

Lelaki mati diserang selepas kunjungan raya ke rumah kawan

PETALING JAYA - Kunjungan bagi menyambut Hari Raya di rumah rakan berakhir dengan tragedi apabila seorang lelaki mati selepas diserang beberapa lelaki di Taman Desa Coalfields, Sungai Buloh di sini, malam tadi.


M. Siva, 22, yang menaiki motosikal bersama seorang rakan dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta menyebabkan mereka terjatuh.
"Beberapa lelaki dikatakan turun dari kereta dan menyerang mangsa menggunakan senjata tajam. Rakan mangsa sempat melarikan diri," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang menyedari kejadian itu membawa mangsa ke Hospital Sungai Buloh, bagaimanapun mangsa mati sejurus tiba di hospital.
"Kejadian pada pukul 8.30 malam itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan iaitu beberapa kesan luka tetakan akibat senjata tajam pada badan dan kepala," katanya.

Mohd Adnan berkata punca sebenar kematian masih dalam siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, ibu mangsa M. Batumani, 55, berkata anaknya itu memaklumkan bahawa dia ingin berkunjung ke rumah rakannya untuk berhari raya.

"Dia keluar rumah pukul 7.50 malam dan dia juga sempat memberitahu saya dia akan pulang keesokan harinya selepas dia bersama rakan-rakannya pulang dari Genting Highlands," katanya sambil memberitahu bahawa Siva adalah anak ketiga dari 11 beradik. - Bernama

* UmnoBN dan polis kata Malaysia aman...