ALEPPO, Syria - Tekanan di rantau Timur Tengah dilihat meningkat semalam
dengan Iran melahirkan sokongan kepada Syria sambil menyifatkan negara
yang berhadapan dengan konflik berterusan itu sebagai "paksi ketahanan".
Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) pula menganggap Syria, yang
dilanda konflik yang berlarutan lebih 17 bulan, sebagai pusat proksi dan
aktiviti keganasan.
CNN melaporkan, ketua keselamatan Iran, Saeed Jalili mengadakan
pertemuan dengan Presiden Syria Bashar al-Assad di Damsyik semalam.
Beliau dipetik berkata, Iran tidak akan membiarkan "musuh"
memecahbelahkan Syria, yang dilihat sebagai "paksi ketahanan, yang mana
Syria adalah bahagian yang penting."
"Apa yang berlaku di Syria bukan isu dalaman, sebaliknya satu konflik
antara paksi yang berdepan dengan tentangan dan di satu sebelah lagi
paksi musuh di rantau ini dan dunia, dengan matlamat mahu menyerang
peranan bertahan Syria," katanya Saeed dipetik media kerajaan.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton yang bercakap
dengan media di Pretoria berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan
mana-mana yang mengeksploitasikan suasana di Syria sama ada secara
langsung atau dengan menghantar wakil. - SH
