KABUL 8 Ogos - Sebutir bom yang diikat pada seekor keldai meletup di
wilayah Ghor, menyebabkan Ketua Polis Daerah berkenaan maut manakala
tiga yang lain cedera, kata pegawai kerajaan semalam.
Dalam kejadian yang berlaku kelmarin, keldai yang membawa bom itu
ditambat di sebuah jambatan berhampiran pagar ibu pejabat kerajaan
tempatan Charsada.
Bom yang dibawa oleh haiwan tersebut telah diletupkan ketika Ketua
Polis Daerah Charsada, Gul Ahmad dalam perjalanan ke tempat kerja.
"Apabila kenderaan yang dinaiki Gul melintasi jambatan terbabit, bom
tersebut diletupkan menggunakan alat kawalan jauh dan beliau mati di
tempat kejadian," kata jurucakap wilayah, Abdulhai Khatibi. - AFP
