24 August 2012

Kes bunuh: Suspek ditahan

SHAH ALAM 22 Ogos - Polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan dengan empat suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan seorang pengawal keselamatan di Taman Desa Coalfields, Sungai Buloh, dekat sini Ahad lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, suspek yang berasal dari Ijok, Kuala Selangor itu ditahan di kawasan Bestari Jaya dekat sini kira-kira pukul 4.45 pagi semalam.

"Polis mengesyaki punca sebenar kematian mungkin disebabkan dendam. Kita percaya suspek berasal dari Ijok itu boleh membantu untuk menjejaki suspek-suspek yang lain," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa, S. Mariapragasam, 22, yang dalam perjalanan pulang menaiki motosikal selepas menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri rakannya mati selepas diserang empat lelaki yang bersenjata tajam di Taman Desa Coalfields. - Utusan