IPOH - Usia untuk pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) bagi sektor swasta masih pada 55 tahun, kata Menteri Kewangan
Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata kerajaan belum bercadang mengubah peraturan itu pada
masa ini, sekalipun usia persaraan untuk pekerja sektor tersebut
dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun berkuat kuasa Januari depan.
"Lanjutan daripada keputusan kerajaan melanjutkan umur bersara swasta,
ada ura-ura mengenai pengeluaran KWSP dilanjutkan daripada 55 tahun
kepada 60.
Pada peringkat ini kerajaan tidak bercadang melaksanakan sistem itu," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan kain jubah, kurma, dan air
zamzam kepada anggota jawatankuasa masjid bagi kawasan parlimen Tambun,
di sini.
Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Ahmad Husni berkata perkara
itu adalah antara aspek yang diteliti dalam Belanjawan 2013.
"Keputusan (pemberian kedua) tertakluk bahawa perbelanjaan mengurus
mesti dibiayai hasil pendapatan kerajaan, yang mana hasil itu mesti
melebihi perbelanjaan mengurus," katanya.
Beliau juga berkata belanjawan kali ini bertumpu kepada aspek inisiatif
mengurangkan beban rakyat ekoran peningkatan kos sara hidup yang
berpunca daripada kenaikan harga barang makanan.
Ahmad Husni kemudian meluangkan masa menziarah pemberita sambilan
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Tajul Safuan Abu Hassan
yang dirawat di KPJ Ipoh Specialist di sini selepas mengalami
'congestive heart failure'.
Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Tajul Safuan yang kini beransur pulih. - Bernama
