SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan,
Datuk Abdul Fattah Mahmood berharap agar rundingan tuntutan royalti yang
dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat
diselesaikan sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri bagi meraikan
perjuangan rakyat Kelantan selama ini.
Abdul Fattah yang juga Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO
berkata, ia perlu diselesaikan segera bagi memberi hadiah kepada rakyat
Kelantan yang selama ini memperjuangkan hak yang selama ini dinafikan
oleh Kerajaan Pusat.
“Kalau boleh selesai sebelum hari raya ini, lagi bagus. Saya menyambut
baik niat Perdana Menteri ini bagi mengadakan perbincangan,” ulas beliau
kepada Sinar Harian Online.
Naib Presiden Pas dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa merupakan pengerusi jawatankuasa tersebut.
Nik
Aziz awal pagi tadi memberitahu yang Perdana Menteri telah menghantar
surat kepada beliau semalam berhubung perkara tersebut.
"Surat ini diterima oleh Setiausaha
Sulit saya, Encik Rosdi (Mohamad). Tetapi kerana hari cuti, dia baru
bagi kepada saya," kata Nik Aziz.
Sebelum
menghantar wakil Kelantan untuk berunding, Nik Aziz berkata, beliau
akan menghadap Sultan Kelantan untuk membincangkan perkara tersebut.
Beberapa jam selepas kenyataan Nik Aziz itu, Najib berkata,
pentadbirannya telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi
membincangkan isu berkenaan.
Jawatankuasa itu diberi tempoh enam bulan.
Abdul Fattah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Panau
menambah, inti pati perbincangan kelak mestilah tidak lari daripada
perjanjian yang telah dimeterai pada 1975.
“Saya turut berharap agar royalti dibayar secara terus kepada kerajaan
negeri, bukan melalui wang ihsan seperti yang terkandung dalam
perjanjian,” katanya.
Beliau turut bersetuju jika pihaknya menghantar wakil dalam
jawatankuasa jika mahu memantau dari segi perbelanjaan wang royalti.
“Perjuangan Nik Aziz selama ini terbukti benar kerana beliau berjuang
untuk rakyat. Kita tolak ke tepi sebarang muslihat politik tetapi mesti
melihat isu ini adalah semata-mata kerana kepentingan rakyat,” tambah
beliau sama ada pendirian terbaru Putrajaya kemungkinan satu strategi
menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
"Kita tidak mahu lihat sama ada ia muslihat atau tidak, kami hendak
berbincang dan kami mahu royalti diserahkan kepada rakyat Kelantan,"
katanya lagi.
Bagaimanapun beliau menegaskan, perkembangan hari ini membuktikan
perjuangan dan tindakan Nik Aziz dalam isu pertikaian royalti minyak
adalah betul. - SH
