| Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
12 August 2012
Isu Rohingya: Myanmar jemput OIC lawat Arakan
YANGON - Myanmar berharap Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ekmeleddin Ihsanoglu segera melawat negara itu untuk melihat sendiri keadaan di Arakan yang dilanda pergolakan.
Presiden Myanmar, Thein Sein memberitahu delegasi OIC yang mengunjungi negara itu bahawa jemputan tersebut adalah yang pertama dibuat dan julung kali disampaikan kepada pemimpin sebuah pertubuhan antarabangsa dengan harapan lawatan berkenaan segera menjadi kenyataan.
"President Thein Sein melahirkan harapannya agar dunia Islam mengetahui tentang perkara sebenar yang berlaku di Arakan," kata pertubuhan berpejabat di Jeddah itu dalam kenyataannya.
OIC memulakan langkah bagi membantu umat Islam Rohingya yang terusir dari kampung halaman mereka apabila keganasan tercetus di wilayah itu pada Jun.
"Beliau (Thein Sein) bersetuju membenarkan OIC dan pertubuhan sekutunya menghulurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut dengan segera dan membuka pejabat di sana yang diselaraskan kerajaan pusat di Yangon serta pihak berkuasa tempatan di wilayah itu.
“Beliau juga meminta kementerian berkenaan menandatangani perjanjian dengan OIC untuk melengkapkan urusan itu," kata kenyataan berkenaan.
Delegasi OIC diketuai bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, yang kini menjadi Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia, dan turut dianggotai Duta Atta El-Manan Bakhiet, Penolong Setiausaha Agong OIC bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, yang juga presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Qatari dan Suruhanjaya Kemanusiaan Antarabangsa Kuwait.
"Delegasi itu menyampaikan kepada Presiden Thein Sein kebimbangan dunia Islam tentang perkembangan menyedihkan yang berlaku di wilayah Arakan serta kebimbangan masyarakat sivil Islam tentang keadaan masyarakat Islam Rohingya berdasarkan maklumat yang disebar oleh media.
"Delegasi itu juga menyatakan kesediaan pertubuhan kemanusiaan Islam untuk menghulurkan bantuan kecemasan ke wilayah Arakan tanpa sebarang diskriminasi," kata OIC.
Sambil menjelaskan bahawa Myanmar terkenal sebagai negara pelbagai etnik dan agama, Presiden Thein Sein berkata beliau tidak akan membiarkan peristiwa berkenaan menjadi penghalang kepada perubahan ke arah demokrasi yang sedang berlaku di Myanmar. - Bernama
