SHAH ALAM - Gara-gara pertikai kebolehan penerjun
negara, Pandelela Rinong, para peminatnya menuntut seorang pemegang
akaun laman sosial Facebook, Johari Pain agar menunaikan janji yang dia
sanggup memotong kemaluan jika atlet itu memperoleh pingat dalam acara
Sukan Olimpik yang disainginya.
Johari membuat kenyataan itu beberapa jam sebelum Pandelela bersaing
dalam peringkat akhir acara 10m Platform Wanita awal pagi tadi (waktu
Malaysia) selepas berjaya di separuh akhir.
Pandelela dari Sarawak memperoleh pingat gangsa, sekali gus mencatatkan
rekod sebagai atlet wanita pertama membawa pulang pingat.
Johari antara lain menulis: "Gua berani kerat xxxx laa kalau Pandelela
menang pingat malam nih.. (saya berani memotong anu kalau Pandalela
menang pingat malam ini...)."
Tindakannya itu berhadapan dengan reaksi marah dan tersinggung, yang rata-ratanya menggesa dia memohon maaf.
Johari yang menggunakan akaun Twitter @JohariPain dalam mesej meminta
maaf berkata, "saya sudah memohon maaf, tapi tidak pulak orang nak print
screen... siap suruh buat permohonan maaf dekat @buletintv3 lagi."
"Sedangkan Nabi boleh ampunkan umat, takkanlah manusia biasa tidak
boleh memaafkan orang lain... saya sedihlah," katanya dalam mesej
Twitter berikutnya.
Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian Online mendapati laman sosial itu telah pun ditutup sejak tengah hari tadi.
Pemegang akaun itu juga telah memohon maaf atas keterlanjuran.
Laman Facebook yang dibuka untuk menyokong Pandelela menyebut, "Johari sudah meminta maaf atas tindakkannya mengeluarkan status berbaur lucah terhadap atlet Malaysia."
Ini merupakan kes kontroversi kedua melibatkan kejayaan dan prestasi
atlet negara mengutip pingat dalam Sukan Olimpik 2012 di London.
Sabtu lalu, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mempertikaikan
Datuk Lee Chong Wei selepas beliau gagal memperoleh pingat emas dalam
acara badminton.
Pemantauan ke atas laman sosial Facebook dan Twitter
mendapati mereka menuntut Johari, yang menggunakan nama Johari Yahiko
dan alaun @JohariPain, agar menunaikan janji kerana Pandelela berjaya
memperoleh pingat gangsa kira-kira jam 3 pagi tadi.
Ketua Pemuda Barisan Nasional dan Umno, Khairy Jamaluddin berkata,
"orang yang paling benci tema 'Janji ditepati' adalah brader yang kata
nak potong kemaluannya jika Pandelela menang pingat Olimpik. Oh mai."
Seorang peminat Pandelela, Putera Miza berkata: "Kesian Johari Pain,
kena kerat kali kedua, kah kah kah. Siapa suruh cakap macam tu, kan dah
terkena. Apa lagi kita potong potong potong."
Insan Kerdil pula berkata: "Inilah orang kata terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya."
Afiq Maolenin berkata: "Johari Pain juga dikenali sebagai Yahiko
Akatsuki. Hahahaha! dari orang Kelantan jadi orang Jepun sesat pulak."
Sementara itu, terdapat beberapa akaun yang didaftarkan atas nama
"Johari Pain Mohon Kerat", "Johari Pain dah potong ke belum", "Johari
Pain ku tunggu janji mu", "Janji Johari Pain Janji Dikerat." telah
mendapat jumlah pengikut yang ramai semenjak Johari mengeluarkan
kenyataan "janji kerat" di laman sosial Facebooknya.
Seorang lagi peminat Khairulnnisa, menyatakan di Twitter "bila dah gelabah dan-dan buat statement 'sedangkan Nabi ampunkan umat', ada akal tak nak guna sebelum buat statement potong penis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat status yang memuji kemenangan penerjun negara itu melalui laman sosial Facebooknya.
Dalam pada itu, dipetik Bernama, Pandelela berkata kejayaannya
di Sukan Olimpik London semalam akan memberi inspirasi kepada anak muda
negara menceburi sukan tersebut.
Beliau berkata kejayaan itu juga bukan sahaja kepada dirinya dan rakan sepasukan tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Kejayaan ini merupakan berita gembira kepada skuad terjun sebab kami
tidak pernah menyumbangkan pingat kepada Malaysia di peringkat Olimpik,"
kata anak kelahiran Sarawak berusia 19 tahun itu selepas acara itu di
Pusat Akuatik, London. - SH
* Kerdilnya bangsa kita. Gangsa dan emas tidak dapat dibeza...
