LONDON 3 Ogos - Sebuah helikopter sebesar tapak
tangan dan seberat 198 gram bakal menjadi senjata terbaru yang akan
digunakan oleh tentera Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan
Amerika Syarikat untuk menentang militan Taliban.
Ketua-ketua tentera percaya, drone perisikan berharga 20,000 pound
(RM97,249) itu yang dikenali sebagai SQ-4 Recon dan merupakan kenderaan
udara tanpa juruterbang terkecil di dunia, akan dapat menyelamatkan
nyawa tentera AS sekutunya di Afghanistan.
SQ-4 Recon sebenarnya pesawat versi kecil Little Nellie, autogiro
yang diterbangkan oleh James Bond dalam filem You Only Live Twice.
Helikopter atau 'nanodrone' itu memiliki dua kamera yang membolehkan
tentera melihat keadaan di sebalik bukit atau di dalam kubu musuh tanpa
risiko terbunuh atau cedera.
Ia boleh dikendalikan menggunakan alat kawalan jauh oleh tentera yang
duduk di sebuah bilik kawalan yang terletak beribu-ribu batu jauhnya
atau oleh tentera peronda dengan menggunakan komputer tablet tujuh inci.
Dengan ukuran sembilan inci diameter, helikopter itu boleh terbang
dan berada di udara selama 30 minit dan enjinnya boleh dimatikan dan
bertenggek seperti burung di tingkap bangunan tanpa disedari ssiapa
sambil merakam sebarang aktiviti selama lebih lapan jam.
Kameranya pula boleh menghantar imej secara langsung atau mengambil
gambar atau video yang boleh merakam pada waktu malam dan siang.
Ini bermakna tentera boleh menjalankan misi tinjauan tanpa menghadapi sebarang risiko diserbu atau terkena jerangkap samar.
SQ-4 direka oleh BCB International and Middlesex University's
Autonomous Systems Laboratory yang beribu pejabat di Cardiff, Britain
dan sedang diuji oleh tentera AS.
Pengarah urusan BCB International, Andrew Howell berkata, teknologi
terbaru itu menawarkan kaedah pertempuran moden dan keupayaan melakukan
intipan tanpa membahayakan diri. - AGENSI
