31 July 2012

'Undang-undang lompat parti harus digubal'

SHAH ALAM - Kerajaan harus mempertimbangkan penggubalan undang-undang lompat parti atau kod etika untuk ahli politik bagi memastikan wakil rakyat yang keluar parti perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) secara automatik.

Penganalisis Politik, Prof Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, sudah menjadi trend masa kini ahli politik keluar parti, tetapi memilih untuk kekal sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, dengan adanya undang-undang itu, ia menjadi titik noktah bagi perbuatan melompat parti oleh ahli politik, kerana perbuatan itu tidak bermoral.

“Kita uji mereka semula sama ada benar kemenangan beliau itu disebabkan parti atau dirinya sendiri. Kita adakan pilihan raya kecil, biar rakyat membuat penilaian  sama ada mereka mempunyai sokongan atau tidak.

“Pada saya ini tak ada integriti, saya harap kerajaan boleh adakan undang-undang khas, sudah sampai masa kita ada Undang-undang Anti-Lompat
Parti supaya tak  timbul lagi perkara seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas tindakan Datuk Seri Lajim Ukin yang meletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Bahagian Beaufort berkuat kuasa serta merta dan mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS).

Ia diikuti oleh Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Bumburing.

Mohammad Agus berkata, walaupun perbuatan itu tidak  bertentangan dengan Perlembagaan, bagaimanapun  memberi kesan negatif kepada pentadbiran negara.

"Tindakan lompat parti ini boleh berlaku sama ada parti pemerintah atau pembangkang.

“Kita tidak boleh mempercayai sepenuhnya apa yang diperkatakan oleh ahli politik, kerana ia boleh berubah  sekelip mata,” katanya. - SH