Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi
perkenan membatalkan pelantikan Datuk Seri Panglima Lajim Ukim sebagai
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkuatkuasa
serta-merta, demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari
ini.
Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota
Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi
Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.
Beliau bagaimanapun masih kekal sebagai anggota Umno.
Lajim yang mengumumkan peletakan jawatannya di Likas Jaya, dekat Kota
Kinabalu, dilaporkan menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak untuk menentukan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Najib kemudian pada satu majlis di Pekan dilaporkan berkata kedudukan
Lajim sebagai timbalan menteri akan diputuskan pada Isnin.
Lajim, 57, dipilih ke Parlimen pada pilihan raya umum 2008 menggantikan
penyandang kerusi Beaufort, Azizah Mohd Dun selepas menewaskan Lajim Md
Yusof (PKR), dengan majoriti 10,914 undi.
Beliau kemudian dilantik menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan pada
tahun 2008 sebelum ditukarkan portfolio kepada Timbalan Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2009. - Bernama