30 July 2012

Umno Sabah serah kedudukan Lajim kepada pucuk pimpinan parti

KOTA KINABALU, 29 Julai — Umno Sabah akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan kedudukan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai anggota Umno selepas beliau mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti dan kerajaan di sini, semalam.


Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman (gambar) berkata parti itu menyedari bahawa Lajim tidak lagi bersama-sama dalam perjuangan Umno dan BN.
“Jadi, kita serahkan kedudukan beliau kepada pucuk pimpinan Umno dan BN,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Puasa anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di Menara Usia 1Borneo, dekat sini hari ini.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri diminta mengulas tindakan Lajim meletakkan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta merta.
Bagaimanapun, ketika mengumumkan perkara itu, Lajim dipetik sebagai berkata bahawa beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno.

Musa menekankan bahawa apa juga masalah dalam BN dan Umno, ia boleh dibincang dan diselesaikan secara bersama dalam semangat BN.
“Saya sering mengingatkan kepada semua kepimpinan bahawa dalam perjuangan kita ini, perjuangan parti adalah penting dan keihklasan kita kepada parti dan pemimpin itu penting dan bukan peribadi kita.
Katanya, Umno akan terus bekerjasama dengan parti komponen BN yang lain untuk bersiap siaga memastikan persediaan rapi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Memang lumrah dalam mana-mana gabungan parti politik atau dalam parti memang ada perbezaan pendapat mengenai sesuatu perkara. “Tetapi jika benar-benar ikhlas dan sanggup bertolak ansur, apa juga masalah boleh kita atasi. Suka saya tekankan bahawa ini bukanlah perjuangan individu tertentu, apa yang penting adalah kesetiaan kita kepada perjuangan parti,” katanya.

Musa berkata bermacam-macam tuduhan telah dibuat menerusi media namun sebagai pemimpin Umno dan BN Sabah, “Saya sentiasa memberikan sokongan kepada beliau (Lajim) sama seperti yang saya berikan kepada semua wakil rakyat Umno dan BN”.
Beliau berkata ini termasuk memberikan sokongan dan bantuan kepada banyak program dan aktiviti beliau.

“Mungkin beliau mempunyai agenda tersendiri...apapun sebagai sahabat saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan timbalan presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Bumburing meninggalkan BN, Musa berkata: “Perkara ini bukan baru, perkara ini sudah lama kita ketahui tapi baru hari ini beliau buat keputusan...terpulang kepada parti mereka”.

“Semua orang bebas membuat keputusan, yang penting saya katakan, kita mesti ikhlas dalam perjuangan kita. Ini yang penting. Umno dan BN sentiasa bekerjasama, kita akan terus pastikan program dan projek yang kita laksanakan dapat diteruskan untuk rakyat,” katanya.
Musa berkata sokongan rakyat terhadap BN tidak terjejas berikutan tindakan Lajim dan Bumburing, dan menegaskan bahawa tidak ada krisis dalam BN Sabah.

Sementara itu, di Ipoh, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata tindakan Bumburing keluar parti dan peletakan jawatan Lajim dalam parti tidak menjejas sokongan rakyat Sabah terhadap kerajaan pimpinan BN.
Beliau berkata sokongan rakyat Sabah terhadap pimpinan BN masih kukuh dan stabil kerana mereka boleh menilai sendiri punca pemimpin terbabit keluar parti atau memilih parti lain.

“Saya ingin ucapkan selamat berjaya kepada mereka... semua pemimpin ada penyokong, tapi akhirnya penyokong mereka mempunyai kesedaran dan keinsafan yang mana kepimpinan BN sangat penting untuk memastikan pembangunan di Sabah berterusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Konvensyen MCA Perak hari ini.

Mengulas lanjut, Chua berkata khabar angin mengenai tindakan kedua-dua pemimpin itu berlarutan selama lapan bulan dan menganggap keputusan tersebut, yang dibuat serta-merta, adalah kerana Pilihan Raya Umum ke-13 makin hampir.

“Pada mulanya, tindakan mereka ini dikatakan khabar angin, dan dia memilih masa ini untuk umumkan kerana dikatakan pilihan raya semakin dekat dengan harapan tindakan mereka membawa impak besar,” katanya. — Bernama

* Betulkah ada lagi yang akan menyusul...