PETALING JAYA - Seorang eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen
TV9 ditemui mati di kediamannya di Apartment Saujana, Damansara Damai
semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mayat
Syaleza Jaffar, 31, ditemui di dalam sebuah daripada bilik tidur rumah
itu oleh suaminya, Norazman Bashah, pada kira-kira 7 malam.
"Mayat mangsa ditemui di bilik kedua rumah mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati tidak ada unsur jenayah
dalam kejadian itu dan buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati
mengejut.
Sementara itu, bapa mangsa Jaffar Bakri, 60, berkata beliau hanya
mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anak
sulungnya.
"Anak saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh suami Syaleza
kira-kira 9.30 malam tadi," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat,
Hospital Sungai Buloh di sini.
Jaffar berkata Syaleza menghubungi ibunya pagi semalam dan memberitahu dirinya tidak sihat.
"Selalunya dia akan berbual panjang tetapi semalam perbualannya tidak lama," katanya yang tinggal di Segamat, Johor.
Beliau berkata Syazleza merupakan anak kedua daripada enam beradik dan
mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun. - Bernama