MOSCOW - Seorang ulama wilayah Tatarstan, Rusia mati ditembak
manakala seorang lagi ulama cedera dalam satu letupan bom kereta di
Kazan, wilayah Tatarstan, kata beberapa penyiasat semalam.
Beberapa pemimpin tempatan menyatakan, kedua-dua serangan tersebut
mempunyai kaitan dengan kritikan mereka terhadap golongan radikal Islam.
Jawatankuasa Siasatan Rusia memberitahu, Timbalan Mufti Tatarstan,
Valiulla Yakupov ditembak mati ketika beliau meninggalkan rumahnya di
Kazan semalam.
Menurut jawatankuasa itu, Ketua Mufti, Ildus Faizov cedera di kaki selepas bom pada keretanya meletup di pusat bandar tersebut.
Kedua-dua ulama berkenaan merupakan penentang pengikut fahaman Salafi atau Wahabi.
Jurucakap Jawatankuasa Siasatan, Vladimir Markin memberitahu beberapa
agensi berita Rusia bahawa agensinya sedang menyiasat aktiviti
kedua-dua ulama itu sebagai punca mereka diserang.
Berusia 49 tahun, Ildus menjadi Ketua Mufti Tatarstan pada tahun 2011
dan memulakan operasi membanteras golongan radikal Islam dengan memecat
pendakwah Wahabi dan mengharamkan buku agama dari Arab Saudi.
Beliau turut dikritik media di Tatarstan kerana mengaut keuntungan
daripada pakej mengerjakan haji anjurannya selain cuba mengawal sebuah
masjid yang dikategori sebagai antara tertua dan terbesar di Kazan. - AP
