Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih berada di kem
tahanan Kamunting akan hanya mengetahui nasib mereka selepas kebolehan
polis menjaga keselamatan awam diperkukuhkan apabila undang-undang baru
berkuat kuasa.
"Saya mahu mengingatkan orang ramai bahawa
pembebasan tahanan ISA menjadi tumpuan utama di bawah kepimpinan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan ia merupakan proses yang
berterusan.
"Justeru apa yang tinggal kini merupakan saki-baki daripada perkara yang kita mahu laksanakan.
"Tetapi saya mahu undang-undang baru dan pembinaan keupayaan polis
diperkukuhkan luar dan dalam agar orang ramai tidak terancam atau
menghadapi risiko apabila undang-undang baru (menggantikan ISA) berkuat
kuasa kelak," katanya.
Beliau bagaimana pun tidak menetapkan
tarikh baki tahanan tersebut akan dibebaskan dan menjelaskan satu
pengumuman akan dibuat berkenaan perkara itu nanti.
"Saya sedang
mengkaji status tahanan-tahanan dan saya percaya satu pengumuman akan
dibuat tentang status mereka nanti," katanya.
Sehingga kini masih terdapat 45 tahanan ISA yang masih lagi dipenjarakan walaupun ISA sudah dimansuhkan.
Ini kerana Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang
digazet pada 22 Jun lalu menggantikan ISA membenarkan baki tahanan
menghabiskan tempoh tahanan yang ditetapkan menteri dalam negeri.
Mengulas
dakwaan bahawa hanya sebahagian kecil polis ditugaskan untuk
menyelesaikan jenayah, Hishamuddin menegaskan bahawa polis yang
menjalankan tugas-tugas lain juga sebahagian daripada tugas-tugas polis.
"Ia tidak benar. Menjalankan tugas-tugas lain bermakna tugas-tugas
polis yang lain, itu saya percaya. Kita ada 120,000 polis dan mereka
inilah yang menjaga keselamatan wanita, kanak-kanak, ragut, pecah rumah
dan pengganas dan tentunya ia masih tidak mencukupi," katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang filem Tanda Putera yang
akan ditayang dan memaparkan peristiwa berdarah 13 Mei, Hishammuddin
berkata beliau masih belum menontonnya dan akan mengulas kemudian. - Malaysikini
* Jumlah perkara yang ke-2, yang penting kualiti polis perlu ditingkatkan...
