Ketua polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah mendesak anggota parlimen
Serdang Teo Nie Ching supaya tidak mempolitikkan statistik jenayah,
sebaliknya bekerjasama dengan polis mengurangkan jenayah.
Bercakap
dalam sidang media di ibu pejabat polis kontinjen di Shah Alam pagi
ini, beliau berkata, statistik juga kadangkala boleh memberikan gambaran
yang salah.
Sebagai contoh, katanya, walaupun statistik rogol
menyebutkan banyak kes berlaku, tetapi tidak sedemikian kerana kes
hubungan seks dengan remaja bawah umur turut dimasukkan sekali.
Teo
semalam mendedahkan, dua jawapan berasingan di parlimen berhubung
perkara sama oleh kementerian yang mendakwa dibekalkan polis,
menunjukkan statistik yang bertentangan.
Wakil rakyat DAP itu
berkata, jawapan bertulis di Parlimen oleh kementerian pembangunan
wanita, keluarga dan masyarakat pada 21 Jun lalu menyatakan, seramai 71
suspek didakwa di mahkamah atas kesalahan melakukan keganasan rumah
tangga.
Bagaimanapun, jawapan parlimen kepada anggota parlimen
Sabak Bernam Abdul Rahman Bakri pada 3 November 2009 oleh kementerian
sama menyatakan seramai 104 orang didakwa atas kesalahan sama 2008. - Malaysiakini
* Kadar jenayah boleh berubah jika memilih parti politik yang menjaga rakyat...
