KUALA LUMPUR - Atlet angkat berat negara, Firdaus Abdul Razak yang
positif doping dan perlu memulang pingat gangsa yang dimenanginya pada
Sukan SEA tahun lalu mendedahkan dia telah pun membuang pingat tersebut
daripada simpanannya.
Menurutnya, dia bertindak demikian kerana baginya pingat gangsa itu meninggalkan kenangan yang cukup pahit dalam kariernya.
“Nak buat apa saya simpan lagi jika saya sakit hati melihatnya. Saya telah buang pingat itu ke sungai.
“Saya campak pingat itu di Sungai Kedah kerana airnya deras, jadi senang pingat itu hanyut," katanya.
Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dalam mesyuarat di Myanmar Sabtu lalu
mengarahkan Firdaus memulangkan pingat gangsa yang dimenangi dalam acara
94-105 kilogram lelaki clean & jerk pada Sukan SEA 2011.
Turut ditarik pingat kemenangan ialah kuartet 4x400 meter lelaki
negara serta atlet sukan kempo dari Indonesia yang memenangi emas.
Tambah Firdaus, dia berasakan dirinya teraniaya dalam kes doping itu.
Menurutnya, tiada atlet yang sanggup sabotaj diri sendiri dengan memasukkan dadah terlarang ke dalam tubuh.
“Sebelum ke Sukan SEA, ujian doping saya tak ada masalah, tetapi
bila ke Sukan SEA saya sangkut, sukar untuk saya terima semua ini,"
katanya.
Luah atlet kelahiran Perlis itu lagi, apa yang lebih melukakan
hatinya ialah apabila dia kematian ibunya, Fatimah Mat, 49, akibat barah
rahim beberapa hari sebelum berangkat ke Sukan SEA.
“Semasa ibu saya meninggal, tiada seorang pun wakil dari Persekutuan
Angkat Berat Malaysia ataupun pegawai sukan yang datang menziarah.
“Saya pergi ke Indonesia dengan hati yang cukup berat. Hati saya
bertambah kecewa apabila saya gagal ujian doping dan sekali lagi mereka
biarkan saya bersendirian," dedahnya.
Ekoran daripada pengalaman pahit yang dilaluinya, Firdaus, 25,
memutuskan untuk bersara dari sukan angkat berat dan mahu memberi
tumpuan kepada perniagaan yang diusahakannya. - Utusan