19 July 2012

Sami Yusuf batal konsert

SESUATU yang mengejutkan apabila penyanyi antarabangsa, Sami Yusuf yang sepatutnya mengadakan konsert kali pertama di negara ini membatalkannya pada saat-saat akhir.

Alasan sebenar penyanyi muzik ketuhanan itu membatalkan konsert di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor masih lagi kabur. Namun apa yang pasti penangan pembatalan konsert ini bukan dirasai peminatnya sahaja.

Antara yang tidak berpuas hati dengan pembatalan konsert itu adalah para peniaga yang telah bersetuju untuk menjayakan karnival jualan yang sepatutnya diadakan bermula 13 sehingga 15 Julai lalu di perkarangan stadium.


Turut terkena tempias pembatalan konsert ini adalah kumpulan nasyid utama negara Rabbani. Selain menjadi artis jemputan untuk konsert berkenaan, tanggungjawab kumpulan Rabbani juga adalah untuk menjayakan karnival jualan tersebut. Menurut salah seorang anggotanya, Azadan Abd. Aziz, Rabbani amat kecewa dengan pembatalan konsert ini pada saat-saat akhir. Bagaimanapun di dalam menilai semula apa yang berlaku pihaknya tidak meletakkan kesalahan ini pada bahu penganjur semata-mata.

"Hampir 50 peniaga terjejas pada hari tersebut. Bayangkan tidak sampai 24 jam kami terpaksa memberitahu peniaga ini bahawa karnival itu terpaksa dibatalkan.
"Secara jujurnya kami tidak menyalahkan penganjur, kami melihat sendiri usaha yang dilakukan mereka untuk meneruskan konsert ini, tetapi malangnya ia tidak dapat diteruskan juga," katanya jujur.

Merupakan pengalaman kali pertama buat mereka, bagi Azadan, Rabbani sendiri sebenarnya tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku sehingga penyanyi itu 'hilang' pada saat-saat akhir.
"Selain membantu peniaga kecil, karvinal jualan ini juga merupakan sambutan untuk menyambut penyanyi tersebut. Kami juga terpaksa menolak jemputan selama tiga hari bagi memberi tumpuan kepada konsert ini.

"Bukan kecewa, cuma untuk masa depan kami akan berfikir panjang untuk menerima jemputan berkerjasama lagi," katanya.
Ditanya sama ada dia mengetahui akan punca sebenar pembatalan konsert ini, menurut Azadan pihaknya tidak dapat memberikan apa-apa komen mengenai perkara berkenaan.

"Bukan kami sahaja artis yang terlibat Datuk Siti Nurhaliza juga terlibat dengan konsert ini. Puncanya saya tidak dapat pastikan namun apa yang saya tahu pihak Sami sendiri sudah diberi bayaran penuh untuk menjayakan konsert ini," katanya.
Sami terlebih dahulu mengadakan persembahan di Singapura. Kehadirannya ke negara ini juga bertujuan untuk mempromosikan album terbarunya bertajuk Salaam. - Utusan