PETALING JAYA – "Sabar duhai hati", adalah status BlackBerry (BB)
terakhir yang sempat dicatat seorang Eksekutif Pentadbiran sebuah stesen
televisyen swasta, Syaleza Jaffar, 31, sebelum ditemui mati dalam bilik
di kediamannya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, dekat sini, kelmarin.
Kejadian disedari setelah suaminya terdengar bunyi dentuman kuat, lalu
bertindak pecahkan pintu bilik selepas panggilannya tidak terjawab.
Menurut sumber, pasangan itu bertengkar kira-kira jam 7 malam, menyebabkan mangsa merajuk dan mengunci dirinya di dalam bilik.
“Suami mangsa menghubungi ambulans yang tiba jam 10.30 malam. Pemeriksaan lanjut mendapati dia telah meninggal dunia,” katanya.
Difahamkan jiran mangsa juga terdengar bunyi pertengkaran beberapa jam
sebelum kejadian. Ia berkemungkinan berpunca daripada suami mangsa
pulang lewat dari kerja luar kawasan.
Pasangan berkenaan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun dan menyewa di situ sejak tiga bulan lalu.
Suami mangsa yang bekerja di syarikat petroleum di ibu kota, buat laporan dan memberi keterangan kepada polis.
Mayat Syaleza dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian itu.
"Peringkat awal kes diklasifikasikan mati mengejut, namun siasatan
diteruskan sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak,” katanya. - SH