Pelakon dan penyanyi terkenal, Abby Abadi menulis dalam laman sosial
Twitter yang kontraknya sebagai duta kepada sebuah syarikat tudung, baru
sahaja ditamatkan kerana penglibatannya dalam PAS.
"4 Julai 2012 - Kontrak saya sebagai duta kepada tudung mereka terbatal secara rasminya.
"Saya terima dengan hati terbuka & saya minta maaf kerana terlibat Pakatan Rakyat," tulisnya di laman Twitter pagi tadi.
Sementara itu, pelakon dan penyanyi terkenal itu yang kini aktif berceramah - ketika ditemui Malaysiakini Jumaat lalu - menyifatkan penyertaannya ke dalam parti itu merupakan sebahagian daripada langkahnya mendekati agama.
Menurut Abby, ia bukanlah satu penghijrahan politik seperti yang dianggap ramai pihak.
"Saya
tak pernah terfikir nak guna istilah penghijrahan itu sebab saya
terlibat secara tak sengaja," katanya sewaktu ditemui di Shah Alam.
Menurut Abby, perubahan dirinya yang kini bertudung dan mula mendekati agama dilakukan sebelum beliau mula mendekati PAS lagi.
"Hidayah atau penghijrahan ini kita dah dapat semua sebelum masuk PAS," kata Abby.
Abby
yang dahulu merupakan sebahagian daripada kumpulan Elite dan popular
dengan siri drama Gerak Khas menjadi ahli PAS seumur hidup pada 19 Julai
lalu.
Beliau menyerahkan sendiri borang keahliannya kepada
Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dalam satu majlis di Kota
Bharu, Kelantan.
Menurutnya, beliau mula mendekati PAS selepas
dijemput parti itu untuk berceramah tentang perubahan dirinya daripada
seorang yang tidak bertudung kepada seorang yang bertudung.
"Saya pada mulanya dijemput untuk berkongsi tentang saya punya hijrah itu," kata Abby.
Beliau kemudiannya membuat keputusan menyertai PAS kerana tertarik dengan perjuangannya yang berteraskan agama Islam.
"Kita
nampak PAS itu perjuangan dia memang perjuangkan agama. Saya sertailah
sebab saya nampak benda itu memang baik untuk agama." kata Abby ringkas. - Mkini
* Apa kata buka kedai tudung sendiri...