KUALA LUMPUR 15 Julai - Polis akan merujuk kepada
pendakwa raya esok bagi menentukan bentuk dakwaan ke atas Muhdalina
Ahmad, wanita yang cedera ditembak dalam kejadian amuk di Kompleks B,
Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Presint 1, Putrajaya pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul
Majid berkata, Muhdalina, 28, mungkin akan berdepan dengan salah satu
daripada empat dakwaan yang dikemukakan.
Katanya, pihaknya bagaimanapun akan menyerahkan kepada pendakwa raya untuk membuat keputusan bagi pendakwaan.
"Wanita tersebut kemungkinan akan didakwa sama ada di bawah Sesyen
6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya mahupun
Akta Kanun Keseksaan Seksyen 426, atas kesalahan memiliki senjata
berbahaya dan bahan.
"Dua dakwaan lagi di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan
membunuh dan Seksyen 506 kanun yang sama bagi ugutan jenayah," katanya
ketika ditemui pemberita pada kejohanan boling Ibu Pejabat Polis Daerah
Cheras, di sini hari ini.
Katanya, wanita tersebut masih menerima rawatan di Hospital Putrajaya
ekoran kecederaan di paha kanan akibat terkena tembakan dalam kejadian
itu.
Dalam kejadian 9 Julai lalu, Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, yang
mengaku sebagai 'Imam Mahadi' maut, manakala bekas pelajar Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhdalina cedera selepas terkena
tiga das tembakan yang dilepaskan polis peronda. - Utusan
No comments:
Post a Comment