DAMSYIK 16 Julai - Ibu negara Syria digegarkan
dengan bunyi letupan apabila tercetus pertempuran sengit antara tentera
kerajaan dan pemberontak membabitkan penggunaan kereta kebal dan mortar.
Pertempuran itu yang dianggap paling sengit sejak tercetus
pemberontakan di negara ini 16 bulan lalu, dilaporkan berlaku di
bahagian selatan bandar ini iaitu di Tadhamon dan Midan serta kawasan
berhampiran kem pelarian Palestin.
Kepulan asap hitam dilihat di ruang udara di pinggir bandar ini
ketika tentera kerajaan berusaha mengusir Tentera Pembebasan Syria (FSA)
dari Damsyik.
Pertempuran itu berlaku ketika wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB)-Liga Arab, Kofi Annan bersiap sedia menemui Menteri Luar
Rusia, Sergei Lavrov untuk membincangkan konflik di Syria.
Beliau dijangka menggesa Lavrov memberi tekanan kepada pihak berkuasa
Syria untuk memulakan peralihan kuasa politik, walaupun koresponden BBC
Moscow, Steve Rosenberg melaporkan hanya terdapat sedikit petunjuk
Kremlin bersedia melakukannya.
Sementara itu, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) mengisytiharkan konflik di Syria kini sebagai perang saudara.
Ini bermakna pertempuran di negara ini kini telah tertakluk kepada
Konvensyen Geneva dan membolehkan pendakwaan jenayah perang dibuat
terhadap mereka yang terlibat pada masa depan.
ICRC sebelum ini hanya mengisytiharkan beberapa kawasan di sekitar Idlib, Homs dan Hama sebagai zon perang.
BBC melaporkan, pertempuran antara tentera kerajaan dan FSA dilihat
semakin menghampiri pusat bandar Damsyik dan kubu kuat tentera kerajaan.
- AGENSI
No comments:
Post a Comment