KUALA LUMPUR - Enam penuntut tajaan Mara yang terlibat dalam kebakaran
di kompleks pangsapuri South Meadow Apartments, Ames, Iowa Ahad lepas,
diberi bantuan RM7,000 seorang.
Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad berkata peruntukan khas
berjumlah RM42,000 itu adalah bagi membantu mereka memulakan kehidupan
baru dan bantuan itu meliputi elaun komputer, baju panas dan sara hidup.
"Bantuan ini disalur secara terus kepada tiga pelajar yang sedang
bercuti di Malaysia, manakala bantuan untuk tiga lagi pelajar lain yang
berada di Amerika Syarikat akan disalurkan melalui pejabat Mara di
Washington," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ibrahim berkata pengurusan bangunan kediaman berkenaan juga telah
memberi komitmen untuk mengurus penempatan baru seperti tercatat dalam
kontrak yang ditandatangani bersama penuntut berkenaan.
"Pejabat Mara di Amerika Syarikat juga telah mendapat komitmen daripada
Dekan Hal Ehwal Pelajar, Iowa State University untuk kursus Summer
School, buku-buku perpustakaan yang telah musnah serta urusan
kaunseling," katanya.
Beliau berkata Mara juga telah memaklumkan kepada ibu bapa dan waris
penuntut berkenaan mengenai keadaan anak-anak mereka dan bantuan segera
yang disalur oleh majlis itu untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
Daripada siasatan yang dijalankan, enam daripada 17 penuntut Malaysia
yang menghuni lima unit kediamaan di kompleks pangsapuri itu adalah
penuntut tajaan Mara, katanya.
Beliau berkata tiga daripada penuntut tajaannya yang berada di Ames, Iowa kini menginap di apartmen rakan-rakan mereka.
Kejadian awal pagi Ahad itu mengakibatkan kira-kira 100 penghuni
termasuk 17 penuntut Malaysia yang mendiami 56 unit rumah di kompleks
pangsapuri itu kehilangan tempat tinggal.
Ketika kejadian hanya empat penuntut Malaysia berada di kediaman
mereka, manakala 13 lagi sedang bercuti iaitu tiga berada di tanah air
dan bakinya melancong di sekitar negara itu.
Empat penuntut terlibat yang semuanya berusia 21 tahun dan menuntut di
Tahun Dua jurusan kejuruteraan di Iowa State University, hanya sempat
menyelamatkan dompet dan telefon bimbit masing-masing. - Bernama