DI apartmen inilah tujuh kasanova Nigeria dan seorang wanita tempatan diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan melibatkan kerugian lebih RM300,000 di Bachang, Melaka semalam. |
Suspek-suspek berusia antara 23 dan 33 tahun tersebut ditahan pada pukul 1 pagi di sebuah pangsapuri di Bachang di sini selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan daripada mangsa-mangsa yang diperdaya. Mereka dikatakan aktif sejak lima tahun lalu.
Kumpulan Awang Hitam itu bertindak licik dengan menggunakan gambar lelaki kacak Eropah dan Pakistan ketika berkenalan dengan mangsa di satu laman sosial sebelum menggunakan ayat-ayat manis dan romantik untuk membuatkan mangsa jatuh cinta dengan mereka.
Kira-kira dua minggu selepas berkenalan secara maya, suspek akan menghubungi mangsa bagi membolehkan mereka bercakap perkara-perkara lucah selain menghantar gambar-gambar tidak senonoh.
Difahamkan, mangsa-mangsa yang diperdaya ialah wanita kesunyian berusia antara 30-an dan 50-an. Mangsa-mangsa yang menjadi sasaran termasuk ahli perniagaan dan pegawai tinggi di syarikat swasta.
Suspek kemudian akan cuba memperdaya mangsa dengan mengatakan akan menghantar bungkusan mengandungi barang berharga sebagai tanda cinta selain memperdayakan mangsa kononnya mereka tidak cukup modal untuk memulakan perniagaan. - Kosmo