Anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan hari ini didenda RM5,000
atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kerana
menghalang tugas penjawat awam pada 2009.
Majistret Mohd
Azhar Hamzah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan
berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap fakta kes serta
mengambil kira kepentingan awam.
Mohd Azhar berkata hukuman yang dikenakan terhadap Gobalakrishnan perlu dijadikan pengajaran oleh tertuduh serta orang ramai.
Gobalakrishnan
didakwa menggunakan kekerasan menghalang Sub Inspektor M. Karunamuthi
daripada menjalankan tugasnya di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara
(IKBN) di Bukit Mertajam pada 11 pagi 17 Ogos 2009.
Dia
dikatakan mengingkari arahan polis dengan menggunakan alat pembesar
suara serta melaungkan kata-kata berunsur provokasi termasuk menghambur
kata-kata kesat terhadap polis.
Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda.
Selain
itu, katanya, Gobalakrishnan juga mempunyai rekod kesalahan sama dan
dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret George Town pada 2010.
Sementara
itu, Gobalakrishnan yang ditemui di luar mahkamah berkata beliau akan
mengemukakan rayuan bagi mengenepikan hukuman itu yang akan difailkan
oleh peguamnya Saiful Ambar Abdullah Ambar hari ini.
Anggota
Parlimen bebas itu yang mengumumkan keluar daripada PKR awal tahun lepas
juga berkata beliau akan terus berkhidmat untuk pengundi Padang Serai
melalui Pekemas, sebuah badan bukan kerajaan - Bernama