KUALA LUMPUR - Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, mempunyai bukti
berlakunya jenayah pemerdagangan manusia terhadap Siti Norzana Nordi,
12, yang dilarikan oleh ibu tirinya ke Lampung Indonesia, Mei 2010.
Pengerusinya, Datuk Khairun Aseh berkata, maklumat ini diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan oleh biro berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan itu menunjukkan bahawa Siti Norzana menjadi
mangsa pemerdagangan oleh ibu tirinya yang juga warga Indonesia.
“Kanak-kanak terbabit dipercayai dijaga seorang lelaki yang telah membelinya dan dipaksa menjadi buruh kasar.
“Saya juga tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu menjadi hamba
seks, bagaimanapun kami sedang mengumpul bukti mengenainya,” katanya
semalam.
Sebelum ini, Siti Norzana bersama tiga adiknya iaitu Nurul Safiza
Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8, dibawa ke
kampung halaman ibu tirinya, Karsini Chaslam, 25, oleh bapa mereka Nordi
Adi, 57.
Ketika berada di sana, Nordi ditipu oleh Karsini dan menjadikan anaknya
sebagai mangsa ugutan bagi Nordi menyerahkan semua wang simpanannya.
Setelah memperoleh wang berkenaan, Karsini membawa empat beradik itu ke Lampung dan meninggalkan mereka di situ.
Bagaimanapun tiga adik Siti Norzana berjaya dibawa pulang pada 30 Jun lalu, hasil bantuan Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno.
Khairun berkata, pihaknya juga meminta kerjasama daripada Kerajaan
Indonesia bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana lelaki yang didakwa
menjaga Siti Norzana enggan melepaskan kanak-kanak itu.
Menurutnya, lelaki ini juga bertindak ganas terhadap dua kakitangan biro yang menemui mereka baru-baru ini.
“Kami akan menghantar nota rayuan kepada Kedutaan Indonesia hari ini
(semalam), bagi menggesa pihak berkuasa dan kerajaan Indonesia campur
tangan dalam isu ini.
“Saya juga sudah memaklumkan perkara ini kepada polis antarabangsa (Interpol) bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Nordi berkata, perkara terbabit tidak mustahil berlaku ke atas anak sulungnya.
Menurutnya, dia mengesyaki sesuatu yang buruk dilakukan ke atas
anaknya, namun enggan mendedahkannya selagi Siti Norzana atau lebih
mesra dengan panggilan Zana belum kembali ke pangkuan keluarganya di
Malaysia.
“Saya memang ada terdetik perkara (tidak baik) berlaku ke atas Zana,
kerana Nurul Safiza Fitri, (anak kedua) saya ada menceritakan beberapa
perkara sekembalinya dia di sini.
“Saya tidak mahu mendedahkan perkara ini selagi Zana tidak pulang lagi
kerana khuatir Zana akan diapa-apakan atau perkara yang lebih buruk
mungkin berlaku. Tapi saya akan mengambil tindakan sepatutnya selepas
mendapatkan kepastian apa yang berlaku dan mereka yang (menzalimi) anak
saya akan diheret ke muka pengadilan,” katanya.
Menurut Nordi, dia tidak sabar membawa Siti Norzana pulang dan akan
berasa terkilan jika perkara tidak baik ini benar-benar berlaku.
“Kekhilafan dua tahun di sana menjerat Zana kepada sesuatu yang tidak baik,” katanya kepada Sinar Harian semalam. - Mkini
No comments:
Post a Comment